Teliti projek Taman Rimba Kiara sebelum dibawa ke Kabinet

Hannah Yeoh - Foto Bernama
Hannah Yeoh - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu projek pembangunan di Taman Rimba Kiara perlu diteliti oleh Peguam Negara, Tommy Thomas sebelum ia dibawa dan diputuskan di kabinet kerana terdapat banyak konflik kepentingan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, konflik kepentingan berkenaan dinyatakan menerusi laporan yang dihantar Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya sedang menunggu isu ini dibawa ke Kabinet seperti dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Namun sebelum itu, ia sepatutnya perlu melalui input daripada Tommy terlebih dahulu. Kita mahu Tommy melihat perkara ini.

"Kes ini mempunyai banyak konflik kepentingan. Konflik kepentingan itu seperti pemilik tanah adalah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), pengerusinyanya pula adalah Menteri Wilayah (Khalid Samad) yang mempunyai kuasa untuk meluluskan projek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai projek Taman Rimba Kiara yang turut dihadiri aktivis, Datuk S Ambiga dan Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel di Pusat C4 di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan mengecilkan saiz projek di tapak berkenaan juga tidak memadai kerana isu asasnya ketika ini adalah konflik kepentingan yang wujud dalam projek walaupun saiz projek dikecilkan," katanya.

Dalam pada itu, Hannah tidak menidakkan hak penduduk rumah panjang untuk memiliki kediaman baharu namun tidak wajar apabila penduduk di situ dipergunakan untuk projek itu 'dihalalkan'.

"Kita tidak membantah penduduk rumah panjang untuk mendapatkan penempatan baharu, tetapi projek itu tidak boleh masuk sehingga ke dalam kawasan taman.

Artikel Berkaitan:

"Ia boleh dibina di atas tanah 4.4 ekar itu sahaja. Jangan gunakan penduduk rumah panjang untuk teruskan projek ini," katanya.

Sementara itu, Cynthia Gabriel berkata, pihaknya sedang menunggu perkembangan terbaru daripada pihak SPRM berhubung laporan dilakukan pihaknya.

'Laporan dihantar pada 27 Mac lepas dan setakat ini belum ada perkembangan diterima. SPRM mengambil masa yang begitu lama," katanya.

Sinar Harian difahamkan, satu sesi taklimat akan dianjurkan Pejabat Ahli Parlimen Segambut di Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Sabtu ini bagi membolehkan penduduk mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan terkini isu berkenaan.

Projek pembangunan itu mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017 DBKL mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.