PSMCK cadang tindakan segera pelihara binaan purba Bukit Choras

Seorang peserta penyelidikan sedang membersihkan arca yang ditemui di Bukit Choras, Yan baru-baru ini. Gambar kecil: Ibrahim
Seorang peserta penyelidikan sedang membersihkan arca yang ditemui di Bukit Choras, Yan baru-baru ini. Gambar kecil: Ibrahim
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) mencadangkan supaya tindakan diambil dengan kadar segera bagi memelihara binaan purba di Bukit Choras, Yan, dekat sini.

Pengerusi PSMCK, Dr Ibrahim Bakar berkata, tapak ini memerlukan bumbung besar yang boleh melindunginya daripada pendedahan hujan dan panas.

Beliau melahirkan kebimbangan tapak terbabit akan berdepan nasib sama seperti mana kesilapan pihak pengkaji-pengkaji barat pada zaman penjajahan dulu sekiranya tindakan tidak dilakukan segera.

"Khabarnya, pihak Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah melakukan kajian bermula 28 Ogos hingga 12 September 2023 lepas akan kembali ke tapak sejarah pada Disember 2023.

"Dalam jarak masa dua bulan ini, kita yakin lumut-lumut dan rumput-rumput mulai tumbuh. Inilah yang membimbangkan pihak PSMCK," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dr Ibrahim menasihatkan seluruh pihak berkuasa berkaitan seharusnya menyedari bahaya yang akan menimpa situs arkeologi besar dan penting ini.

Beliau bimbang situs ini akan mengalami nasib yang sama seperti yang pernah terjadi kepada ‘hasil korekan’ pengkaji Dr Quaritch-Wales sekiranya tiada tindakan segera.

"Masalahnya adalah sama, iaitu terdedah kepada cuaca tempatan seperti hujan dan panas, tumbuh-tumbuhan renek dan algae yang akan menghancurkannya dengan kadar segera, tidak seperti ketika ia masih terpelihara di bawah tanah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan keperluan membina bumbung bagi melindungi tapak ini mencecah RM 400,000 atau lebih.

Bagaimanapun, beliau tertanya-tanya pihak mana yang akan mengambil tanggungjawab terbabit.

"Atas sebab ia aset bersifat ‘pelancongan sejarah’, maka pihak Kementerian Pelancongan (MOTAC) boleh menyalurkan dana melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) sebagai pendaftar tapak-tapak purba seperti ini.

"Bagaimanapun, masalah dihadapi adalah kekurangan kakitangan JWN yang akhirnya dikhuatiri kemajuan sukar dicapai seperti yang dicita-citakan.

"JWN mempunyai banyak tanggungjawab lain di seluruh negara sekali gus dikhuatiri tidak dapat menumpukan di tapak ini semata-mata walau sepenting manapun di mata masyarakat," katanya.

Beliau menyarankan, dana berkaitan disalurkan melalui Badan Pembangunan Ekonomi Negeri Kedah sebelum ia akhirnya disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai alternatif kepada JWN.

Dr Ibrahim berpandangan, tapak di Bukit Choras ini lebih baik dijaga PBT dengan penyertaan masyarakat setempat sebagai pengendali aktiviti berkaitan dengannya kelak.

Menurut beliau, PSMCK boleh mengadakan bengkel-bengkel untuk menyalurkan maklumat dan latihan pemandu-pemandu pelancongan sejarah dengan kerjasama pelbagai badan berkaitan dengannya.

"Selain itu, antara perkara penting lain termasuklah isu pemilik tanah tapak tersebut. Kami difahamkan kawasan tapak tersebut adalah milik kerajaan negeri Kedah dan berstatusnya ‘tanah kerajaan’.

"Jadi, tidak semua orang boleh sewenang-wenang bertindak apa-apa di atas tanah milik kerajaan. Perkara ini perlu dilihat segera oleh pihak Pejabat Tanah Kerajaan Kedah," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan JWN dengan kerjasama PPAG USM berjaya menemui dua buah arca Buddha hampir lengkap dengan prasasti.

Pensyarah Kanan PPAG, Dr Nasha Rodzaidi Khaw berkata, penemuan itu berlaku semasa kerja-kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras yang bermula pada 28 Ogos hingga 12 September lalu.