Dua arca Buddha ditemui di Bukit Choras

Seorang peserta penyelidikan sedang membersihkan arca yang ditemui.
Seorang peserta penyelidikan sedang membersihkan arca yang ditemui.
A
A
A

YAN - Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menemui dua buah arca Buddha hampir lengkap dengan prasasti.

Pensyarah Kanan PPAG, Dr. Nasha Rodzaidi Khaw berkata, penemuan itu berlaku semasa kerja-kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras yang bermula pada 28 Ogos hingga 12 September lalu.

Menurutnya, eskavasi arkeologi ini mendedahkan struktur binaan candi yang lebih besar dan lengkap dengan memperlihatkan separuh daripada bahagian utara dan selatan serta keseluruhan dinding barat.

"Bahagian kaki candi pula memperlihatkan susunan bertangga serta memiliki orientasi yang bertepatan dengan arah mata angin.

"Arca yang ditemui pula dalam keadaan haus dan pecah," katanya ketika ditemui di lokasi Tapak Arkeologi Bukit Choras, di sini pada Jumaat.

Menurut Nasha, turut dijumpai di tapak berkenaan adalah prasasti beraksara pallava serta serpihan tembikar tanah.

"Tapak ni agak istimewa sebab kebanyakan tapak-tapak arkeologi Lembah Bujang terletak di selatan Gunung Jerai, sekitar Sungai Merbok, Sungai Buda manakala tapak Bukit Choras merupakan satu-satunya tapak yang terletak di utara Gunung Jerai.

"Ia berdiri sendiri dan keliling dia kita jumpa tapak. kita rasa terkejut dengan penemuan candi yang besar kerana untuk wujud satu candi yang besar, ia kena ada populasi yang besar juga. Jadi ini membuka pelbagai bentuk potensi untuk kajian masa depan nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara arca Buddha yang ditemui ketika kerja-kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras.
Antara arca Buddha yang ditemui ketika kerja-kerja penyelidikan di Tapak Arkeologi Bukit Choras.

Mengulas lanjut, Nasha berkata, struktur candi itu juga mempunyai persamaan dengan Tapak Batu Jaya di Jawa Barat dan membawa kepada pentarikhan yang menyamai zaman Srivijaya.

"Untuk itu kajian pentarikan karbon dan teknik kronometrik iaitu pendar kilau rangsangan optik atau OSL dilakukan bagi mendapatkan pentarikhan candi ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Warisan, Mohd Azmi Mohd Yusof berkata, tapak terbabit telah diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 pada 28 Disember 2016

"Eskavasi ini merupakan projek rintis dalam bidang penyelidikan dan pendidikan susulan daripada Memorandum Persefahaman yang ditandatangani JWN dengan universiti awam pada Mac lalu.

"Banyak penemuan-penemuan yang kita buat dan harap dengan penemuan ini dapat merangka semula semua sekali," katanya.