Asap kebakaran berpotensi merebak, Jokowi gesa tindakan segera

Jokowi beri peringatan bahawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu berpotensi untuk tersebar secara meluas.
Jokowi beri peringatan bahawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu berpotensi untuk tersebar secara meluas.
A
A
A

JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi peringatan bahawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu berpotensi untuk tersebar secara meluas.

Beliau turut memerintahkan supaya pegawai tertinggi tentera dan polis serta pemerintah daerah mengambil tindakan segera dengan serius untuk mengatasi masalah itu.

"Memang setiap kebakaran menghasilkan asap yang boleh tersebar secara meluas jika dibawa oleh angin,” kata Joko Widodo, yang lebih dikenali sebagai Jokowi.

"Setiap titik kebakaran, tidak kira betapa kecilnya, mesti dikawal untuk mengelakkannya daripada merebak,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai peningkatan pencemaran udara di negara-negara jiran susulan asap kebakaran di wilayah Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

Jokowi berkata, suhu di negaranya kini lebih panas daripada suhu normal sehingga musim kemarau berlangsung panjang serta berpotensi meningkat dan memperluas titik panas di beberapa wilayah.

Beliau bagaimanapun yakin usaha mengawal kebakaran yang sedang dilakukan sekarang lebih baik berbanding kebakaran hutan pada 2015.

"Kami masih boleh mengawalnya dengan baik di sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Puncak musim kemarau di Indonesia dijangkakan berlaku bulan ini, berikutan peningkatan titik panas dari Ogos dengan beberapa wilayah termasuk Jawa tidak menerima hujan sejak tiga bulan lalu.

Malaysia bersedia untuk bekerjasama menangani kebakaran hutan dan tanah yang sedang melanda di beberapa wilayah di Indonesia sekiranya diperlukan, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Tawaran itu terkandung dalam surat rasmi yang dihantar Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada rakan sejawatannya di Indonesia Siti Nurbaya Bakar.

Konsulat Malaysia di Pontianak telah menyumbang enam mesin pam air kepada pemerintah Wilayah Kalimantan Barat pada Ogos untuk pencegahan dan pengawalan kebakaran hutan dan tanah.

Dalam kenyataan rasmi Isnin lepas, Siti Nurbaya menjelaskan aduan Malaysia mengenai jerebu Indonesia adalah tidak tepat.

"Kami telah memantau keadaan dan tiada jerebu rentas sempadan yang sampai ke Malaysia,” katanya. - Bernama