Ibu pemandu Mufti Kelantan belum tahu anak meninggal dunia

Pemandu kepada Mufti Kelantan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang. Nik Nurul Shazelin melihat gambar kenangan bersama abangnya ketika melancong di Thailand Februari lalu. Gambar kecil: Nik Mohammad Ahzan
Pemandu kepada Mufti Kelantan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang. Nik Nurul Shazelin melihat gambar kenangan bersama abangnya ketika melancong di Thailand Februari lalu. Gambar kecil: Nik Mohammad Ahzan
A
A
A

KOTA BHARU - Ibu pemandu kepada Mufti Kelantan masih tidak mengetahui anaknya maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang kerana ditidurkan kira-kira 11 jam sebelum kejadian.

Adik keenam mangsa, Nik Nurul Shazelin Mohd Nawi, 31, berkata ibunya, Nik Zabedah Awang, 61, yang dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada 28 September lalu terpaksa menjalani prosedur tersebut kerana oksigen dalam badan yang semakin menurun.

Menurut Nik Nurul Shazelin, ibunya mengalami masalah buah pinggang kronik, kencing manis dan kuman dalam paru-paru.

"Sejak ibu dimasukkan ke wad lebih sebulan lalu, abang selalu menjenguknya tetapi kini kami semua tidak dapat menjaga ibu kerana dia berada di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Kasar pada Sabtu.

Media pada Jumaat melaporkan pemandu kepada Mufti Kelantan antara dua individu yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Machang.

ARTIKEL BERKAITAN:Dua maut nahas empat kenderaan

Mangsa, Nik Mohammad Ahzan Mohd Nawi, 40, meninggal dunia dalam kejadian kira-kira jam 9 malam manakala seorang lagi mangsa ialah kanak-kanak berusia 10 tahun, Muhammad Syawal Asyraf Muhammad Safuan.

Bercerita kemalangan yang meragut nyawa Allahyarham Nik Mohammad Ahzan, Nik Nurul Shazelin memberitahu, mereka mendapat tahu kejadian berkenaan kira-kira jam 9.30 malam selepas pulang melawat ibu di HUSM.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, rakan abangnya iaitu seorang anggota polis yang berada di tempat kejadian menghubungi salah seorang ahli keluarga memaklumkan mengenai pemergian abangnya.

"Ketika itu saya masih menganggap ia satu gurauan dan meminta abang yang lain bertanya rakan-rakan untuk mengesahkan keadaannya.

"Bagaimanapun kami reda selepas mengetahui situasi sebenar," katanya.

Berkongsi sikap Allahyarham Nik Mohammad Ahzan, ibu kepada tiga anak berkenaan memberitahu, abang sulungnya seorang yang disayangi kerana selalu menceriakan keluarga dan gemar bergurau dengan adik-beradik lain.

Nik Nurul Shazelin berkata, kakak iparnya, Nor Liana Aziz, 37, ada memaklumkan bahawa abangnya menjadi pendiam beberapa hari sebelum kemalangan dan lebih banyak termenung.

Allahyarham Nik Mohammad Ahzan juga jelasnya, tidak sabar untuk berpindah ke Kota Bharu kerana bertukar kerja di Pejabat Mufti selepas 13 tahun bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Machang.

"Pada malam kejadian kami rasa abang mengeluarkan sejumlah wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk membelikan baju sukan kepada dua anak lelaki berusia 10 dan 14 tahun sebagai persiapan berpindah sekolah.

"Kami dimaklumkan wang bertaburan di atas jalan tetapi diambil oleh orang ramai yang prihatin dan memasukkan semula ke dalam poket serta begnya," katanya.

Solat jenazah Allahyarham Nik Mohammad Ahzan diimamkan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Kasar kira-kira jam 3 petang Jumaat.