'Jangan beli makanan di kedai bukan Islam'

Syeikh Fadzil (tengah) menyerahkan cek agihan balik zakat kepada Mohd Syauqi (kanan) sambil diperhatikan Syeikh Zakaria (kiri) dalam Majlis Penyerahan Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Seluruh Kedah di Maktab Mahmud Alor Setar hari ini.
Syeikh Fadzil (tengah) menyerahkan cek agihan balik zakat kepada Mohd Syauqi (kanan) sambil diperhatikan Syeikh Zakaria (kiri) dalam Majlis Penyerahan Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Seluruh Kedah di Maktab Mahmud Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang Islam dinasihatkan tidak mengambil kesempatan membeli makanan di kedai makan bukan Islam kerana tidak mahu berpuasa sepanjang Ramadan.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, umat Islam seharusnya menunaikan kewajipan dengan berpuasa dan tidak ponteng puasa tanpa sebarang alasan kukuh.

"Berdosa sekiranya tidak berpuasa pada bulan mulia ini, apatah lagi membeli di restoran dan kedai makan bukan Islam kerana tidak ingin berpuasa.

"Mereka juga melakukan kesalahan apabila makan atau minum dibeli dari kedai bukan Islam dan hukumnya jatuh haram atas perbuatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Penyerahan Pembayaran Agihan Balik Zakat Sekolah Seluruh Kedah di Maktab Mahmud Alor Setar di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lemba Zakat Negeri Kedah (LZNK), Syeikh Zakaria Othman dan Ketua Unit Dakwah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Mohd Syauqi Ismail.

Menurutnya, mereka melakukan kesalahan dengan tidak berpuasa, dan turut melakukan kesalahan membeli makanan di premis bukan Islam yang bahan masakan tidak tahu sam ada halal atau tidak.

"Kita amat mengalu-alukan sekiranya peniaga bukan Islam bekerjasama dengan membuat panggilan telefon kepada penguat kuasa sekiranya mengesan ada orang tidak berpuasa dalam kedai mereka.

Artikel Berkaitan:

"Seluruh masyarakat termasuklah saya memandang perbuatan tidak berpuasa di bulan Ramadan sebagai sangat menyedihkan," katanya.

Syeikh Fadzil berkata, peniaga diingatkan tidak menjual makanan kepada orang tidak berpuasa, sekali gus mematuhi peraturan ditetapkan dengan menjual makanan selepas jam 3 petang.

Dalam pada itu, menurutnya, badan-badan tertentu dialu-alukan mengadakan kempen kesedaran mengurangkan pembaziran makanan termasuk membeli secara berlebihan melebihi kemampuan di bulan Ramadan.