Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi sedikit pada Jumaat berikutan aktiviti membeli saham berharga rendah selepas jualan baru-baru ini di tengah-tengah prestasi positif bursa serantau lain, kata seorang peniaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.28 mata kepada 1,416.88 daripada paras penutup 1,415.60 pada Khamis.

Indeks itu yang dibuka rendah turun 0.31 mata kepada 1,415.29, bergerak antara paras 1,415.28 and 1,419.96 sepanjang hari dagangan.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 449 berbanding 407 manakala 449 kaunter tidak berubah, 1,011 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung

Jumlah dagangan susut kepada 2.86 bilion unit bernilai RM2.09 bilion daripada 3.11 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Khamis.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.58 peratus kepada 17,485.98, Indeks Straits Times Singapura naik 0.70 peratus kepada 3,177.21 dan Kospi Korea Selatan menokok 0.21 peratus kepada 2,408.73.

Bagaimanapun, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI tidak dapat mengekalkan momentum beliannya apabila para pelabur kekal mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data pekerjaan Amerika Syarikat lewat hari ini.

"Di pasaran domestik, meskipun sentimen pasaran tempatan menunjukkan petanda penambahbaikan, kami masih mengambil pandangan berhati-hati kerana kami menjangka kemeruapan pasaran masih kekal tinggi dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan CIMB naik satu sen masing-masing kepada RM8.77 dan RM5.42, manakala Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM10.02 dan Public Bank turun satu sen kepada RM4.03. Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.10.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura tidak berubah pada lima sen, KNM susut setengah sen kepada 17 sen dan Top Glove turun tiga sen kepada 75.5 sen. Sarawak Consolidated naik setengah sen kepada 50 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.05 mata kepada 10,503.84, Indeks FBMT 100 menokok 7.35 mata kepada 10,169.64 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 13.85 mata kepada 10,794.09.

Indeks FBM 70 naik 2.10 mata kepada 13,992.17 dan Indeks FBM ACE meningkat 38.87 mata kepada 5,150.51.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 0.41 mata kepada 6,837.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 5.92 mata kepada 15,869.59, Indeks Tenaga menokok 0.67 mata kepada 849.94 manakala Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian meningkat 0.91 mata kepada 170.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.90 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 2.06 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 310.50 juta unit bernilai RM44.32 juta daripada 291.80 juta unit bernilai RM34.60 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 637.41 juta saham bernilai RM203.19 juta daripada 730.90 juta saham bernilai RM193.29 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 171.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (379.08 juta); pembinaan (201.0 juta); teknologi (73.96 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (88.55 juta); hartanah (257.86 juta); perladangan (31.24 juta); REITs (9.97 juta), dana tertutup (14,630); tenaga (394.53 juta); penjagaan kesihatan (154.60 juta); telekomunikasi dan media (32.96 juta); pengangkutan dan logistik (47.93 juta) dan utiliti (61.67 juta). - Bernama