Bursa Malaysia ditutup tinggi

Bursa Malaysia secara keseluruhannya ditutup tinggi pada Isnin.
Bursa Malaysia secara keseluruhannya ditutup tinggi pada Isnin.
A
A
A

BURSA Malaysia secara keseluruhannya ditutup tinggi pada Isnin, didorong pembelian semasa harga murah dalam saham perbankan susulan penjualan pada Jumaat lepas, dan ini sejajar dengan prestasi memberangsangkan di pasaran serantau.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 19.21 mata atau 1.40 peratus kepada 1,395.89 daripada 1,376.68 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks utama itu dibuka 2.71 mata lebih baik kepada 1,379.39 sebelum bergerak di antara 1,379.31 dengan 1,397.37 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran juga positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 513 berbanding 343 manakala 420 kaunter tidak berubah, 982 kaunter tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.61 bilion unit bernilai RM1.50 bilion berbanding 2.65 bilion unit bernilai RM2.03 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, di peringkat rantau, indeks utama ditutup lebih tinggi memandangkan penurunan inflasi Amerika Syarikat (AS) mencetuskan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan AS akan melonggarkan pendiriannya yang cenderung kepada kadar faedah tinggi bagi dasar monetari.

"Selain itu, data menunjukkan peralihan positif sentimen terhadap ekonomi Jepun telah melonjakkan indeks Nikkei ke paras tertinggi dalam tempoh 33 tahun.

"Di Hong Kong, saham meningkat dengan ketara susulan harapan terhadap langkah rangsangan China untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat rantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 2.06 peratus kepada 19,306.59; Indeks SSE Komposit China naik 1.31 peratus kepada 3,243.98 dan Indeks Shenzhen menambah 0.59 peratus kepada 11,091.56.

Dari segi domestik, Pak Leng berkata, indeks penanda aras meneruskan trajektori meningkat didorong oleh sentimen pasaran global yang bertambah baik.

"Setelah melepasi paras rintangan 1,390, kami menjangkakan FBM KLCI menguji semula paras 1,400 minggu ini.

Walau bagaimanapun, kami menasihatkan pelabur supaya kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang dijadualkan pada Rabu dan Khamis ini walaupun kami yakin kadar dasar semalaman akan dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata secara teknikal, paras rintangan seterusnya dijangka pada 1,415 manakala sokongan kekal pada 1,373.

Antara saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik 12 sen kepada RM8.75; Public Bank menokok sembilan sen kepada RM3.94; CIMB meningkat 10 sen kepada RM5.16; Tenaga Nasional menambah lima sen kepada RM9.10 namun, IHH Healthcare susut satu sen kepada RM5.88.

Daripada saham aktif, RGB International menokok 2.5 sen kepada 36 sen, TWL naik setengah sen kepada 3.5 sen manakala Widad, BTM Resources dan Sarawak Consolidated masing-masing mendatar pada 42 sen, sembilan sen dan 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 131.21 mata kepada 10,272.55; Indeks FBMT 100 meningkat 130.30 mata kepada 9,974.30; Indeks FBM Emas Syariah menambah 120.01 mata kepada 10,534.88; Indeks FBM ACE naik 47.56 mata kepada 5,115.58 dan Indeks FBM 70 melonjak 147.05 mata kepada 13,531.63.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 185.21 mata kepada 15,518.08; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.98 mata kepada 158.90; Indeks Tenaga menambah 14.05 mata kepada 788.14 dan Indeks Perladangan melonjak 128.827 mata kepada 46.827.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.80 bilion unit bernilai RM1.26 bilion daripada 1.93 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 333.22 juta unit bernilai RM60.90 juta daripada 226.52 juta unit bernilai RM39.82 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 483.43 juta saham bernilai RM179.48 juta berbanding dengan 494.11 juta saham bernilai RM173.01 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 349.89 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (606.59 juta); pembinaan (46.56 juta); teknologi (135.22 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (58.86 juta); hartanah (238.76 juta); perladangan (47.67 juta); REIT (6.30 juta), dana tertutup (88,200); tenaga (129.90 juta); penjagaan kesihatan (77.49 juta); telekomunikasi dan media (26.81 juta); pengangkutan dan logistik (22.54 juta); serta utiliti (49.55 juta). - Bernama