Tiada aduan harimau, hanya gajah - Perhilitan Kelantan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan pihaknya hanya menerima aduan melibatkan gangguan gajah liar dan tidak melibatkan harimau di Pos Pasik, Gua Musang.

Pengarah negeri, Mohamad Hafid Rohani berkata, bertindak kepada aduan berkenaan, pihaknya telah membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) mudah alih di sekeliling kawasan Sekolah Kebangsaan Pos Pasik.

"Untuk serangan harimau, pada Rabu jam lebih kurang 12 tengah malam, kita telah menerima makluman dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Gua Musang berkaitan laporan seorang lelaki Orang Asli meninggal dunia akibat diserang hidupan liar dipercayai harimau belang di Pos Pasik.

"Perbincangan dengan pihak IPD segera dibuat dan diputuskan SAR (Pasukan Mencari dan Menyelamat) terdiri dari polis, Perhilitan, bomba dan JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) telah memulakan operasi pada pagi Khamis," katanya semasa dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi respon berkenaan kejadian seorang Orang Asli dipercayai maut selepas dibaham seekor harimau pada Rabu.

Menurut beliau, jarak antara bandar Gua Musang dengan Pos Pasik adalah lebih kurang 85 kilometer (km) dan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk tiba ke lokasi tersebut bergantung kepada keadaan cuaca.

Ujarnya, akses ke Pos Pasik hanya menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan ladang.

Mohamad Hafid memberitahu, siasatan di lokasi kejadian akan dilakukan oleh anggota Perhilitan bagi menentukan punca kematian mangsa.

"Mengikut rekod kami, kes kecederaan atau kematian manusia akibat diserang harimau belang di Kelantan ialah pada 5 Julai 2021 di Pos Bihai, Gua Musang di mana seorang lelaki Orang Asli mengalami kecederaan parah.

Artikel Berkaitan:

"Harimau belang betina (Syamilla Bihai) yang menyerang mangsa berjaya ditangkap dan telah ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak," katanya.

Tambah beliau, pada 7 Januari lalu, di Pos Bihai, Gua Musang melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli.

Ujarnya, harimau belang yang menyerang mangsa terpaksa ditembak mati kerana telah cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi.

"Orang ramai adalah dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang lelaki Orang Asli, dikenali sebagai Pisie Amud, 25, dipercayai maut selepas dibaham seekor harimau dalam kejadian di Pos Pasik pada Rabu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar menyumpit berhampiran kawasan Kampung Sugi pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.