RM130 juta baik pulih pangsapuri kos rendah, sederhana

Rodziah (duduk tengah) ditemui pemberita pada Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim Ceria Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di sini pada Jumaat.
Rodziah (duduk tengah) ditemui pemberita pada Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim Ceria Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di sini pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Sejumlah hampir RM130 juta diperuntukkan kerajaan Selangor bagi kerja-kerja membaik pulih pangsapuri kos rendah dan sederhana di negeri ini menerusi Skim Ceria.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, jumlah tersebut diperuntukkan sejak penghujung 2011 sehingga kini.

Menurutnya, peruntukan tersebut meliputi pelbagai kategori kerja baik pulih antaranya termasuk bumbung, lift, tangki, mengecat serta fasad pada bangunan pangsapuri terbabit.

"Sebanyak sembilan blok (telah dibaik pulih) dan sebuah lagi berbaki di sini, jadi keseluruhan nilaian projek ini kita telah peruntukan hampir RM130 juta bermula pada penghujung tahun 2011," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim Ceria Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di sini pada Jumaat.

Rodziah berkata, pada setiap tahun kira-kira 15 projek Skim Ceria dilaksanakan menerusi 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dengan tumpuan diberikan di kawasan Lembah Klang.

Beliau menambah, Pangsapuri Bukit Tinggi 1 merupakan salah satu daripada lokasi diluluskan peruntukan kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan PlanMalaysia Selangor dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai pelaksana.