Pekerja bengkel mengaku pukul penghantar makanan

Mohd Faizul (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis untuk menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah tulang rahang kelapan sebelah kiri, Ahad lalu.
Mohd Faizul (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis untuk menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah tulang rahang kelapan sebelah kiri, Ahad lalu.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki yang tular di media sosial membelasah seorang penghantar makanan hingga parah hanya kerana membunyikan hon, dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Khamis.

Pekerja bengkel, Mohd Faizul Nazri, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.

Tertuduh yang hadir dengan memakai baju T berkolar berwarna ungu akan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Ketika memutuskan hukuman berkenaan, Siti Zubaidah menasihati tertuduh supaya tidak bertindak sesuka hati dengan 'menunjuk' hebat di jalanan.

“Saya berharap tertuduh mengambil iktibar terhadap kejadian itu, jangan ikut perasaan dan tunjuk hebat di jalan raya.

“Orang buat salah sikit, nak bagi (pukul atau belasah), sudahnya kamu dituduh di mahkamah,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Faizul didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki berusia 21 tahun iaitu patah tulang rahang kelapan sebelah kiri.

Kesalahan dilakukan di tepi jalan, hadapan lampu isyarat Jalan Langat-Klang jam 7.15 petang, Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, peguam, Nicholas Cheoh mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia menyesal atas perbuatan tersebut.

“Isteri tertuduh sarat mengandung tujuh bulan dan berharap dapat berada di sisi isterinya semasa melahirkan anak nanti.

"Tertuduh bertindak sedemikian selepas hilang kewarasan apabila mangsa menunjukkan jari tengah, seolah mencabarnya semasa kejadian," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi menegaskan kes gengsterisme di jalan raya sering berlaku kebelakangan ini.

"Satu video telah tular dan saksi katakan tertuduh tiada belas kasihan sehingga mencederakan mangsa iaitu retak tulang rahang.

"(Tunjuk jari tengah) bukan alasan untuk dia bertindak ganas maka, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal berbentuk pemenjaraan dikenakan, sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah orang awam,” katanya.

Tindakan seorang lelaki yang memukul penghantar makanan menerusi video tular baru-baru ini, mengundang padah apabila suspek bersama dua lagi rakannya diberkas pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, tiga lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 39 tahun yang merupakan pekerja trak penunda itu ditahan sekitar daerah ini, pada jam 6.30 petang.

Ia susulan satu kejadian, seorang penghantar makanan dibelasah selepas didakwa membunyikan hon terhadap sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, menghala ke Klang.

Kejadian yang kemudiannya tular di media sosial itu menimbulkan kecaman netizen.