Lelaki warga emas didakwa angkut 5 PATI warga Myanmar

Tertuduh di bawa ke Mahkamah Alor Setar di sini bagi mendengar pendakwaan terhadapnya pada Khamis.
Tertuduh di bawa ke Mahkamah Alor Setar di sini bagi mendengar pendakwaan terhadapnya pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan mengangkut lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang diseludup masuk ke negara ini bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Aseri Musa, 60, yang merupakan pemandu e-hailing dan juga teksi mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 20 September lalu, tertuduh didakwa mengangkut lima migran warga Myanmar terdiri daripada seorang lelaki berusia 21 tahun, dua wanita berusia 26 dan 37 tahun, remaja perempuan 16 tahun dan kanak-kanak lelaki lima tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di hadapan Taman Hosba, Pekan Changlun dalam daerah Kubang Pasu kira-kira jam 5 petang.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd Sobri sementara tertuduh diwakili peguam, Muhamad Samsul Nizam Sohimi.

Artikel Berkaitan: