PBAPP sedia bekerjasama bantu jimat air di sekolah

Gambar hiasan. Gambar kecil: Pathmanathan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Pathmanathan
A
A
A

GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) bersedia untuk bekerjasama dengan semua sekolah di Pulau Pinang untuk membantu mereka menjimatkan air sekali gus menjimatkan wang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, pemuliharaan air adalah penyelesaian yang lebih rasional, mampan dan 'hijau' berbanding pemberian rebat bil air.

Oleh itu katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah pemasangan peranti penjimatan air (WSD) di semua tandas sekolah untuk menjimatkan air secara automatik dengan setiap penggunaan.

"Selain itu, sekolah juga perlu mendidik dan mengingatkan murid-murid supaya mengamalkan tip penjimatan air seperti tidak membiarkan pili air mengalir, meminimumkan penggunaan hos semburan dan melaporkan paip atau pili yang bocor kepada pentadbir sekolah dengan segera.

"Antara langkah lain, pihak sekolah perlu mengurangkan penggunaan air secara keseluruhan untuk kerja-kerja berkebun, pembersihan dan penyelenggaraan di sekolah. Selain itu, melarang mencuci kereta atau motosikal di kawasan sekolah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, pengurusan sekolah juga boleh melaksanakan projek penjimatan air seperti sistem penuaian air hujan yang inovatif untuk menakung air bagi kegunaan berkebun atau memasang sistem tandas yang meminimumkan penggunaan air untuk tujuan pembilasan.

"Selain langkah-langkah tersebut, pihak sekolah perlu membaiki atau menukar semua paip dan pili yang bocor di kawasan sekolah dengan segera serta menghubungi PBAPP untuk menggantikan meter air sekolah lama yang mungkin tidak berfungsi," tambahnya.

Kata beliau, rebat sekolah Pulau Pinang 2023 adalah tanda muhibah sekali beri (one-off) kerana purata tarif bukan domestik di Pulau Pinang ialah RM2.06 setiap 1,000 liter (untuk 500,000 liter pertama sebulan).

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah antara yang terendah di Semenanjung Malaysia dengan purata kebangsaan ialah RM2.24 setiap 1,000 liter.

"Terdapat lebih daripada 10,000 sekolah di Malaysia yang mana, kira-kira 99 peratus daripada semua sekolah di Malaysia telah menyesuaikan diri dengan membayar tarif baharu untuk bekalan air mereka sejak Ogos 2022 tanpa rebat," katanya.

Pathmanathan menambah, semua pengguna bukan domestik di seluruh negara termasuk hospital, rumah anak yatim, rumah warga emas, pusat dialisis, badan amal, kolej, angkatan tentera, polis dan bomba turut membayar lebih untuk air sejak Ogos 2022.

"Pada 2022, PBAPP menyediakan subsidi air domestik untuk 585,740 pengguna domestik di Pulau Pinang. Jumlah kos subsidi adalah sebanyak RM103.71 juta.

"Dalam tempoh dari tahun ini hingga 2028, PBAPP perlu melabur sejumlah RM1.1836 bilion untuk melaksanakan lapan projek di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030). Projek-projek ini diperlukan untuk memastikan bekalan air mencukupi di Pulau Pinang sehingga 2030," katanya.

Beliau berkata, adalah penting bagi Pulau Pinang untuk memupuk budaya penjimatan air kerana Pulau Pinang adalah negeri yang mengalami kekurangan air.

"PBAPP telah memasang alat penjimatan air di 287 masjid dan surau dan semua bangunan PBAPP untuk menggalakkan pemuliharaan air. PBAPP juga telah mempromosikan program pemuliharaan air 'Aqua Save' untuk sekolah di bawah projek Penang Green Schools yang diuruskan oleh Penang Green Council.

"Kami mempunyai pengalaman dan sumber untuk membantu sekolah-sekolah Pulau Pinang dalam menjimatkan air dan wang. Kami sedia membantu. Pegawai sekolah boleh menghubungi kakitangan PBAPP berikut untuk mendapatkan sokongan dan bantuan," katanya.