Tiga wakil UMNO Pulau Pinang dilantik Ahli Majlis

Dari kiri: Mohd Noor, Omar dan Abdul Razak
Dari kiri: Mohd Noor, Omar dan Abdul Razak
A
A
A

GEORGE TOWN - Tiga ketua UMNO bahagian dilantik menjadi Ahli Majlis bagi dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang selepas 15 tahun tiada wakil daripada parti itu di dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Mereka adalah Ketua UMNO Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua UMNO Batu Kawan, Datuk Mohd Noor Ahmad dan Ketua UMNO Tasek Gelugor, Datuk Omar Hamid.

Mohd Noor dan Omar dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) manakala Abdul Razak sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye berkata, surat pelantikan sudah diserahkan kepada ketiga-tiga wakil UMNO itu dan mereka sudah memulakan tugas sebagai Ahli Majlis.

Menurutnya, lantikan ketiga-tiga Ahli Majlis tersebut bermula Oktober ini sehingga 31 Disember 2024 bagi sesi 2023/2024.

"Pada 2 Oktober, Kerajaan Pulau Pinang telah menerima tiga pencalonan nama baru bagi Ahli Majlis daripada UMNO. Pencalonan itu diterima tersebut adalah untuk mengisi dua kekosongan kuota di MBSP dan satu di MBPP.

"Majlis angkat sumpah dan menandatangani pengakuan menerima jawatan bagi MBPP akan diadakan pada 6 Oktober ini di Dewan Bandaraya manakala bagi MBSP, akan diadakan pada minggu ketiga Oktober," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Rabu.

Mooi Lye (kiri) berbual bersama ketiga-tiga Ahli Majlis daripada UMNO selepas sidang akhbar di Komtar pada Rabu.
Mooi Lye (kiri) berbual bersama ketiga-tiga Ahli Majlis daripada UMNO selepas sidang akhbar di Komtar pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, seramai 45 Ahli Majlis iaitu 23 bagi MBPP dan 22 MBSP telah mengangkat sumpah pada 2 Oktober lalu.

"Pelantikan Ahli Majlis yang dibuat itu masih tidak melengkapkan jumlah penuh iaitu 24 orang Ahli Majlis bagi setiap PBT.

"Oleh itu, dengan pelantikan tiga wakil dari UMNO ini, ia telah melengkapkan jumlah Ahli Majlis bagi kedua-dua PBT," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Razak,54 yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Pulau Pinang berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya sebagai bekas Ahli Majlis 15 tahun lalu untuk menjalankan amanah baharu yang dipikulnya.

Beliau yang kini bekerja sebagai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad berkata, antara isu yang akan diberi penekanan adalah banjir, lesen penjaja dan kesesakan lalu lintas.

"Saya pernah dilantik Ahli Majlis pada 2008 selain menjadi Ketua UMNO Jelutong selama 13 tahun, dengan pengalaman yang ada, saya berharap akan membantu saya menjalankan tanggunjawab ini dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Omar, 64 yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mempercayainya untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

"Dengan pengalaman sebagai ADUN dan kerjaya saya sebagai peguam, saya akan bekerja sepenuh hati untuk membantu kerajaan negeri," katanya.

Mohd Noor, 64 yang mempunyai pengalaman politik lebih 40 tahun pula berkata, dengan pengalaman yang ada, beliau akan membantu kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat di negeri ini.