PRN: Agihan kerusi BN-PH dimuktamadkan dalam masa terdekat

Agihan kerusi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan membabitkan BN dan PH akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Agihan kerusi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan membabitkan BN dan PH akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Agihan kerusi parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini perbincangan mengenainya sudah sampai di penghujung dan menunggu untuk diumumkan.

“Agihan kerusi (antara BN-PH) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat (dan) kita telah sampai ke penghujung untuk memuktamadkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pengagihan kerusi membabitkan kedua-dua gabungan dalam Kerajaan Perpaduan itu.

Pada Khamis, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos, iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.

PRN itu perlu diadakan memandangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.