Tekong Vietnam didenda RM300 ribu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara menceroboh perairan negara menangkap ikan secara haram, seorang tekong Vietnam didenda RM300,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Huynh Van Hue, 28, turut berdepan hukuman sembilan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985(Akta 317) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia tentang nama, negara bendera, lokasi jalan dan destinasi vesel tersebut, jenis dan amaun ikan yang dibawa dan hal keadaan vesel tersebut memasuki perairan Perikanan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 141 batu nautika dari Kuala Terengganu, kira-kira jam 4.05 petang, pada 25 April lalu.

Dengan itu bagi kesalahan di bawah Seksyen 25(a), tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda dan RM100,000 dalam hal tiap-tiap anggota kru, jika disabitkan kesalahan

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 34 pula, jika dibuktikan dengan memuaskan hati, mahkamah bahawa apa-apa barang yang disita di bawah Akta yang ini telah menjadi hal perkara atau digunakan dalam melakukan kesalahan di bawah Akta ini, mahkamah boleh memerintahkan supaya barang tersebut dilucuthakkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Mohamad Afiq Taqiudin Roslan di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi beserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.