Isu REE: SPRM siasat seorang Menteri Besar

SPRM membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu perlombongan REE.
SPRM membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu perlombongan REE.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan seorang Menteri Besar dalam isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Menurut sumber, aktiviti perlombongan tersebut dipercayai dilakukan secara tidak sah, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, isu perlombongan haram dan kerugian hasil bumi itu telah diadukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gerakan Anti-Sanusi (GAS) pada Mac lalu.

"Difahamkan daripada penduduk di kawasan Bukit Enggang Sik, Kedah bahawa kerja-kerja perlombongan haram itu telah dibuat secara besar-besaran sebelum ditumpaskan oleh pihak berkuasa.

"Pada Januari lalu, UMNO Kedah juga pernah mengesa SPRM untuk menyiasat dan mendedahkan hasil siasatan sama ada terdapat campur tangan politik dalam isu kecurian REE yang mendatangkan kerugian besar kepada negara," katanya pada Selasa.

Sementara itu baru-baru ini, katanya, beberapa individu telah tampil dan membuat aduan rasmi kepada SPRM bagi menyiasat isu salah guna kuasa serta rasuah melibatkan seorang Menteri Besar.

Jelasnya, aduan itu adalah hasil daripada satu surat viral berkaitan permohonan kuota pekerja asing kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ia kononnya bagi projek usaha sama antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat tempatan dan syarikat dari negara China," ujarnya.

Tambah sumber, difahamkan SPRM Kedah pernah membuka kertas siasatan berhubung isu perlombongan haram REE pada awal tahun ini.

Sehubungan itu katanya, SPRM telah memanggil beberapa orang saksi, namun tidak diketahui sejauh mana kertas siasatan tersebut dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan bahawa beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Menurutnya, ia termasuk kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM Kedah pada Mac 2023.

Namun beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah SPRM akan memanggil Menteri Besar terbabit dalam masa terdekat.