Hutan Simpan Bukit Enggang jadi projek perintis kajian REE

Sanusi (tiga dari kanan) hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang dipengerusikan Nik Nazmi pada Selasa.
Sanusi (tiga dari kanan) hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang dipengerusikan Nik Nazmi pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik dipilih sebagai projek perintis untuk mengkaji dan melihat kesan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) selepas kerajaan membenarkan penerokaan mineral tersebut dalam negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kajian awal termasuk untuk memastikan aktiviti perlombongan REE tidak menjejaskan struktur hutan mahupun memberi kesan negatif terhadap tanah yang diteroka.

Menurutnya, impak hasil daripada kajian berkenaan akan dijadikan panduan dalam melombong REE di kawasan yang dibenarkan di negeri ini.

“Kajian yang dijalankan itu antaranya untuk melihat kesan perlombongan REE terhadap persekitaran seperti hutan simpan dan tanah yang diusahakan sebagai kawasan melombong dalam hutan simpan kekal (HSK) di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sanusi berkata, kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kajian berkenaan bagi memastikan hasrat Kedah untuk meneroka hasil baharu sebagai pendapatan negeri tercapai.

Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang diceroboh sebelum ini dijadikan projek perintis kajian REE bagi melihat kesan aktiviti perlombongan
Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang diceroboh sebelum ini dijadikan projek perintis kajian REE bagi melihat kesan aktiviti perlombongan

“Kita ucapkan terima kasih atas pemilihan tapak Bukit Enggang sebagai perintis projek bagi kajian kesan perlombongan REE di Malaysia,” ujarnya.

Pada Selasa, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, kerajaan negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal REE berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan bijih REE dan mineral berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) di ibu negara pada Selasa, yang turut dihadiri Sanusi.

Jawatankuasa berkenaan akan melihat kepada keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral, antaranya pengekstrakan REE.

Pada 3 Oktober tahun lepas, media melaporkan berlaku kecurian mineral terbabit yang dilakukan sekumpulan warga asing di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang.

Susulan itu, kerajaan negeri didakwa terbabit dalam kegiatan melombong REE secara haram apabila tapak berkenaan disahkan milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Bagaimanapun, Sanusi menafikan dakwaan, sebaliknya menegaskan MBI tidak terlibat dalam perlombongan haram malah individu terbabit telah didakwa di mahkamah dan dikenakan tindakan.