UMNO belum serah senarai calon ahli majlis

Ahli Majlis MBPP dan Datuk Bandar bergambar bersama Kon Yeow selepas selesai majlis angkat sumpah pada Isnin.
Ahli Majlis MBPP dan Datuk Bandar bergambar bersama Kon Yeow selepas selesai majlis angkat sumpah pada Isnin.
A
A
A

GEORGE TOWN - UMNO Pulau Pinang belum lagi menyerahkan nama calon untuk dilantik menjadi Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) setakat ini.

Berikutan itu, tiada wakil dari parti itu yang hadir pada majlis angkat sumpah yang diadakan di Dewan Bandaraya MBPP, di sini pada Isnin.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan itu mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk menyenaraikan nama Ahli Majlis yang akan dilantik pada penggal kali ini.

Beliau yakin perkara itu akan dapat diselesaikan oleh UMNO dalam masa terdekat.

"Kita menghormati parti masing-masing untuk mengemukakan senarai calon mereka dan cadangan nama itu melibatkan pelantikan tiga Ahli Majlis iaitu seorang akan mengisi kuota MBPP serta dua lagi bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

"Kita juga memerlukan surat rasmi daripada parti untuk pencalonan nama, sekiranya daripada mesej WhatsApp atau seumpamanya kita tidak akan pertimbangkan," katanya ketika ditemui media selepas majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBPP, di sini pada Isnin.

Hadir menyaksikan majlis angkat sumpah itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, tiada tempoh tertentu ditetapkan kepada pihak UMNO bagi menetapkan senarai calon berikutan ia dilihat tidak menghalang fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan peranan mereka mengikut Akta Kerajaan Tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Akta Kerajaan Tempatan menetapkan untuk menubuhkan sebuah PBT, kita memerlukan sekurang-kurangnya lapan orang Ahli Majlis dan seorang Datuk Bandar.

"Sementara ini, kita sudah ada 23 Ahli Majlis di bawah MBPP dan 22 orang Ahli Majlis bagi termasuklah yang hadir mengangkat sumpah pada hari ini jadi tiada masalah," katanya.

Pada majlis itu, seramai 12 muka baharu pelbagai latar belakang dilantik sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi penggal 2023 hingga 2024.

Pelantikan mereka berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Disember 2024.

Difahamkan, pelantikan masing-masing dengan kuota diperuntukkan mengikut komponen parti ialah 10 orang daripada DAP, PKR (8), Amanah (4), UMNO (1) dan seorang wakil badan bukan kerajaan (NGO).