55 sindiket dadah kecundang di tangan polis

JSJN merampas dadah dalam operasi pada September lalu di sekitar Selangor.
JSJN merampas dadah dalam operasi pada September lalu di sekitar Selangor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan 55 sindiket dadah dalam tempoh tiga bulan sejak Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, statistik setakat September itu berjaya menahan 208 ahli sindiket.

"JSJN berjaya membongkar 12 makmal dadah haram membabitkan 37 tangkapan.

"Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket yang bernilai RM30.32 juta telah disita, manakala sebanyak RM2.8 juta nilai harta telah dilucut hak," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sepanjang tempoh itu juga, JSJN merekodkan tangkapan seramai 44,147 orang di bawah pelbagai kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

Kata beliau, daripada jumlah tersebut, 427 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"JSJN telah berjaya merampas sebanyak 7,401.33 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 11,936.87 liter cecair dadah, daun ketum (19,622.54 kg), air ketum (19,494.69 liter) serta 14 pokok ganja yang membawa nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM90.93 juta," ujarnya.

Tambahnya, bagi mempergiat tindakan ke atas penagih dadah tegar, seramai 5,780 pesalah dadah yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C akta yang sama

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah tersebut seramai 1,785 individu telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya turut menahan 173 orang penjawat awam atas pelbagai kesalahan dadah.

Justeru, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.