600 ekor ayam licin dalam tempoh tiga jam

Jualan ayam pada 6.40 sekilogram mendapat sambutan pembeli di Bazar Rakyat Agro Johor di Rengit pada Rabu.
Jualan ayam pada 6.40 sekilogram mendapat sambutan pembeli di Bazar Rakyat Agro Johor di Rengit pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Sebanyak 600 ekor ayam dijual dengan harga RM6.40 sekilogram 'licin' dalam tempoh tiga jam sempena program Bazar Rakyat Agro Johor di Pusat Memproses Makanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Rengit, pada Rabu.

Pengarah Fama negeri, Faidz Afizi Mohamed berkata, selain ayam, 200 kilogram daging lembu yang dijual pada harga RM32 sekilogram turut habis terjual hanya dalam tempoh dua jam.

Katanya, harga asal ayam dan daging lembu pada jualan tersebut masing-masing RM9.40 dan RM38, namun mendapat tampungan subsidi daripada Fama Johor.

"Bagi keseluruhan tampungan subsidi dianggarkan sebanyak RM8,000 bukan sahaja ayam dan daging lembu tetapi pelbagai keperluan lain, seperti telur ayam, ikan dan sayur.

"Telur ayam gred B yang dijual pada harga RM10 sepapan mendapat sambutan luar biasa. Begitu juga dengan ikan rakyat iaitu ikan cencaru, ikan tongkol dan ikan pelaling," katanya.

Orang ramai beratur mendapatkan ayam di Bazar Rakyat Agro Johor di Rengit pada Rabu.
Orang ramai beratur mendapatkan ayam di Bazar Rakyat Agro Johor di Rengit pada Rabu.

Dalam pada itu Faidz Afizi berkata, sebanyak 85 program Bazar Rakyat Agro Johor akan dilaksanakan di negeri ini sehingga April tahun depan.

"Fama turut membantu pekebun dan penternak tempatan memasarkan produk mereka menerusi program Bazar Rakyat Agro Johor yang diadakan di setiap daerah.

"Ia juga dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui tawaran harga jualan yang berpatutan," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Zulkifli Abd Wahab, 47, berkata, jualan ayam terpaksa dihadkan kepada dua ekor bagi setiap pembeli memandangkan sambutan diterima luar biasa.

Mohd Alwi, Zulkifli
Mohd Alwi, Zulkifli

Jelasnya, kesediaan subsidi diberikan membolehkan pembeli khususnya daripada kawasan luar bandar berjimat cermat.

Bagi pembeli, Mohd Alwi Abdullah, 57, berkata, walaupun ramai yang berpusu-pusu mendapatkan ayam namun bekalannya mencukupi.

"Harap program jualan seumpama ini diperbanyakkan dan dibuat lebih kerap," katanya.