Rombakan kabinet: Beri kepercayaan kepada PM - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi berhubung rombakan kabinet.

Menurut beliau, hal tersebut merupakan hak prerogatif Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk memuktamadkan rombakan kabinet.

"Janganlah buat spekulasi, beri kepercayaan kepada PM," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal di sini pada Selasa.

Menurutnya, tiada perbincangan mengenai rombakan kabinet berlangsung di antara Anwar dan beliau selaku Pengerusi BN serta Presiden UMNO.

"Saya belum bincang dengan PM dan setakat jam 5 petang belum ada tanda-tanda yang Anwar memanggil saya untuk memaklumkan perkara itu," katanya.

Ditanya mengenai adakah hal berkenaan turut dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet pada Rabu, Ahmad Zahid menolak perkara tersebut.

"Tidak pernah akan sekali ia dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet," katanya.

Ketika dasak mengenai kemungkinan terdapat menteri yang akan digugurkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia terletak sepenuhnya kepada Anwar.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada mana mana Perdana Menteri membincangkan siapa yang hendak digugur atau dinaikkan dalam mesyuarat kabinet," katanya.

Spekulasi mengenai pengumuman barisan kabinet baharu bertiup kencang selepas Ahmad Zahid sebelum ini mengesahkan rombakan bakal diadakan dalam masa terdekat.

Antara yang mendorong perkara itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu dalam perkembangan berbeza, Ahmad Zahid berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development Corporation (HDC) akan bekerjasama rapat bagi memendekkan keputusan permohonan pensijilan halal kepada 23 hari bekerja berbanding sembilan bulan sehingga dua tahun sebelum ini.

Beliau berkata, langkah proaktif itu diambil berikutan rungutan pemain industri khususnya pengeluar produk halal yang menyatakan bahawa pengeluaran sijil halal adalah terlalu lewat sehingga menyebabkan kelewatan pengedaran produk ke dalam pasaran domestik dan luar negara.

"Majlis juga bersetuju supaya HDC dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melaksanakan proses bagi permohonan baharu ini melalui proof of concept (POC) di mana lima premis dapur dan restoran perhotelan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dapur dan restoran dijadikan POC untuk tempoh dua bulan.

"Selepas kejayaan itu, ia akan dilaksanakan di peringkat negeri dengan kerjasama kerajaan negeri untuk mempercepatkan permohonan sijil halal ini," katanya.