Rombakan kabinet: Maaf tak ada maklumat, kata MCA

Chong Sin Woon
Chong Sin Woon
A
A
A

SHAH ALAM - MCA enggan mengesahkan sebarang spekulasi berhubung wakil partinya mungkin mengisi kembali barisan anggota kabinet Kerajaan Perpaduan susulan khabar angin rombakan yang bakal dibuat dalam masa terdekat ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon berkata, ketika ini pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

"Maaf tak ada apa-apa maklumat (berhubung spekulasi rombakan kabinet), maka tak dapat komen apa," ujarnya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada Sinar Harian.

Portal berita pada Isnin melaporkan wakil MCA atau MIC mungkin dikembalikan dalam jemaah menteri susulan rombakan yang diuar-uarkan bakal dibuat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hujung minggu ini.

Selepas Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung membentuk kerajaan tahun lalu, wakil MIC dan MCA tidak berada dalam senarai anggota kabinet.

Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan respons pemimpin MIC tidak berjaya apabila panggilan dan WhatsApp tidak berbalas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat dilaporkan berkata, tidak menolak kemungkinan membincangkan mengenai rombakan kabinet ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Bagaimanapun, jelasnya, rombakan kabinet ketika ini tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad memberi bayangan bahawa rombakan kabinet di bawah pimpinan Anwar akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau berkata, antara sebabnya ialah kekosongan jawatan Menteri KPDN susulan kematian Salahuddin.