Wakil MCA dalam kabinet: Jangan buat ramalan, kuasa pada PM - Jeck Seng

Jeck Seng
Jeck Seng
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng meminta semua pihak tidak membuat sebarang ramalan berhubung wakil MCA yang akan dilantik menganggotai jemaah menteri sehingga keputusan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jeck Seng berkata, lantikan dalam kabinet merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri.

"Saya ada dengar tentang ura-ura tentang wakil MCA akan dilantik menganggotai jemaah menteri di bawah Kerajaan Perpaduan susulan spekulasi Perdana Menteri akan membuat rombakan kabinet.

"Jangan buat apa-apa ramalan dahulu, tunggu keputusan Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Jeck Seng yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, sekiranya diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri, ia akan dipikul sebaiknya demi rakyat.

"MCA juga merupakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Jika diberikan peranan dan tanggungjawab, kita akan buat demi kebaikan untuk rakyat," katanya.

Sebelum itu, sebuah portal melaporkan, wakil MCA atau MIC mungkin dikembalikan dalam jemaah menteri susulan rombakan yang diuar-uarkan bakal dibuat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hujung minggu ini.

Ketika ini, BN hanya diwakili UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

MCA mempunyai dua ahli Parlimen iaitu Presidennya, Datuk Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), manakala wakil tunggal MIC, Datuk Seri M Saravanan (Tapah) yang juga timbalan presiden parti itu.

Pada 1 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa rombakan kabinet di bawah pimpinan Anwar akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau berkata, antara sebabnya ialah kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.