Sewa kepala lori di Kedah, curi ekor treler di Johor

Rahmat (kanan) menunjukkan warna ekor treler yang diubah cat kepada warna merah pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
Rahmat (kanan) menunjukkan warna ekor treler yang diubah cat kepada warna merah pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang kelindan lori sanggup berhabis RM7,000 menyewa kepala treler dari Kedah untuk melarikan ekor treler milik sebuah syarikat kargo di kawasan perindustrian di Gelang Patah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek lelaki berusia 27 tahun itu ditahan ketika sedang memandu treler berkenaan di Taman Nusa Sentral pada jam 2 petang Ahad.

Menurutnya, ekor lori terbabit difahamkan berharga RM60,000.

"Ekor treler berkenaan dilaporkan hilang pada 18 September lalu. Hasil risikan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, treler berkenaan berjaya dikesan dan suspek berjaya diberkas.

Rahmat (kanan) melihat pelekat nama syarikat yang telah ditukar pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri.
Rahmat (kanan) melihat pelekat nama syarikat yang telah ditukar pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri.

"Pemeriksaan yang dilakukan ke atas ekor treler mendapati warnanya telah diubah daripada biru kepada merah, selain pelekat nama syarikat turut ditukar untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Bagaimanapun polis mengenal pasti ekor treler tersebut berdasarkan nombor casis yang didaftarkan pemilik," katanya pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini pada Selasa.

Rahmat berkata, siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti tujuan suspek melarikan ekor treler tersebut selain muatan yang dibawa.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai melakukan jenayah itu seorang diri, namun tidak menolak kemungkinan ada pembabitan individu lain yang membantu suspek.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan negatif dadah. Suspek kini sedang direman selama lima hari bermula Isnin bagi membantu siasatan 379A (1) Kanun Keseksaan," katanya.