Banjir Baling: Dua Empangan Sabo, projek RTB akan dibina

Kayu balak yang dihanyutkan air banjir ke rumah penduduk di Kampung Iboi, pada Rabu.
Kayu balak yang dihanyutkan air banjir ke rumah penduduk di Kampung Iboi, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri memutuskan akan membina dua buah Empangan Sabo di Kampung Iboi, Kupang untuk memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas, susulan tragedi banjir lumpur masih berulang.

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, empangan tersebut akan bertindak sebagai halangan untuk menyekat bahan-bahan yang hanyut bersama aliran air deras seperti kayu dan bongkahan batu yang memusnahkan penempatan penduduk.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tindakan pemulihan infrastruktur terjejas akibat banjir daerah Baling yang diadakan pada Ahad.

“Kos untuk pembinaan dua Empangan Sabo adalah RM20 juta, pada masa ini dalam proses penilaian tender oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Mesyuarat ini melibatkan semua agensi berkaitan bawah kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri termasuk Pejabat Daerah Baling, Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU Kedah), Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah, JPS serta syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC), Permodalan Kedah Berhad (PKB),” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Selasa.

Sanusi berkata, selain membina Empangan Sabo, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) turut dirancang agar dapat mengurangkan risiko banjir.

Artikel Berkaitan:

“Proses mengeluarkan tender RTB Baling fasa satu dengan kos RM15 juta dijangka disempurnakan pada Februari tahun depan. RTB Baling fasa dua yang menelan belanja RM160 juta dalam proses penilaian tender.

“Sementara RTB Baling fasa tiga kini dalam proses penyediaan kertas kerja untuk diangkat dalam permohonan bencana Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” jelasnya.

Menurutnya lagi, Pejabat Daerah Baling akan membaiki dan membina semula tiga buah titi di Kampung Padang Empang, Kampung Tanjung dan Jalan Kampung Iboi yang musnah akibat banjir.

“Selain itu, kerosakan cerun atau tanah runtuh yang berlaku di Kampung Kepala Bukit, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Khairiah dan Kampung Tualang akan diambil tindakan,” jelasnya.

Sanusi memaklumkan, sebuah jambatan baharu akan dibina di Kampung Padang Cina mukim Kupang dengan kos RM3 juta.

“Sembilan titi konkrit akan dibina atau dibaiki di Kampung Teluk Durian, Kampung Lanai, Kampung Kenanga, Kampung Menora, Kampung Bok Bak, Lata Celak, Kampung Charok Kangar, Kampung Bukit Kuala Kuang dan Kampung Bukit Legong.

“Pembinaan jambatan dan baik pulih infrastruktur ini bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan, bawah ICU Kedah,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga sedang memberikan perhatian terhadap aduan kerosakan infrastruktur termasuk tebing runtuh seperti yang berlaku di Jalan Kampung Rambong - Kampung Pisang, Kampung Iboi - Tanjung Luas dan di Jalan Charuk Nau - Teluk Teduri, Jalan Kampung Hangus - Kampung Bukit serta beberapa lokasi lain.

“Berdasarkan penilaian, kos untuk membaik pulih kerosakan dan tebing runtuh ini dianggarkan RM5.6 juta,” jelasnya.

Pada Rabu, seramai 650 mangsa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling ekoran banjir selain menyebabkan kerosakan infrastruktur di beberapa kawasan di daerah tersebut termasuk penempatan penduduk dimasuki lumpur.

Antara kampung yang terjejas teruk termasuk Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Empang.