Selangor perbanyak kolam takungan atasi banjir kilat

Izham (kiri) pada sesi taklimat Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, di sini pada Isnin.
Izham (kiri) pada sesi taklimat Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, di sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Pembinaan kolam takungan di Selangor perlu diperbanyakkan bagi mengatasi isu banjir kilat di negeri itu yang pesat dengan pembangunan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kira-kira 600 kolam takungan terdapat di Selangor termasuk yang dibina di bawah tanah susulan isu tanah terhad.

Menurutnya, urbanisasi menyebabkan peningkatan kekerapan hujan lebat dan longkang sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air yang turun serentak.

"Pembangunan di Selangor terlalu tinggi dan laporan diterima daripada konsultan menunjukkan 'urban heat' meningkat yang menyebabkan kekerapan hujan lebat berlaku.

"Jadi kolam takungan ini merupakan satu keperluan yang berfungsi untuk menakung air supaya air tidak dilepaskan secara serentak," katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja, di sini pada Isnin.

Kata Izham, pembinaan kolam takungan merupakan langkah efektif yang diperoleh menerusi mesyuarat yang diadakan bagi menangani isu banjir kilat dan pengurusan sistem saliran di Selangor.

"Jika nak selenggara keseluruhan longkang, kita tidak mampu kerana libatkan kos tinggi jadi penyelesaiannya ialah dengan cara pembinaan kolam takungan.

"Kita sedang teliti kaedah untuk syaratkan kolam takungan atau tangki untuk kawal pelepasan air bagi halang banjir disebabkan longkang tak mampu tampung kapasiti," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri memperuntuk RM7. 3 juta bagi pembinaan Kolam Takungan di Taman Mutiara Bukit Raja di atas tanah berkeluasan dua hektar yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Beliau berkata, kolam sedalam 1.7 meter itu mampu menampung air sehingga 7 kubik per saat (cumec) sebelum dilepaskan secara berperingkat bagi mengatasi isu banjir kilat.

Katanya, projek itu bukan hanya memberi manfaat buat 1,200 penduduk Taman Mutiara tetapi pengguna lebuh raya berhampiran iaitu Lebuhraya Shapadu yang turut terjejas akibat limpahan banjir kilat.

Ujarnya, kolam takungan itu penting susulan kedudukan lokasi yang rendah menyebabkan masalah 'air termenung' yang masalah itu diatasi melalui pemasangan pam air untuk lancarkan aliran air.