Ke mana hala tuju mereka?

Barisan pelumba negara menampilkan prestasi positif sepanjang lapan peringkat LTdL 2023.
Barisan pelumba negara menampilkan prestasi positif sepanjang lapan peringkat LTdL 2023.
A
A
A

PUJIAN buat pasukan kebangsaan Malaysia atas prestasi mengagumkan sepanjang beraksi pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang berakhir pada Sabtu.

Namun, timbul tanda tanya sama ada kesemua barisan enam pelumba negara itu akan terus berada dalam satu pasukan atau mereka akan membawa haluan masing-masing.

Malah, ketua jurulatih, Mohd Yusof Nasir sendiri tidak dapat menentukan masa depan anak-anak buahnya itu sekalipun beliau berharap mereka kekal ‘disatukan’ pada LTdL 2024.

“Tentang masa depan pelumba negara ini, saya tak boleh nak cakap apa lagi tetapi saya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Kita akan cuba sedaya upaya mengekalkan pasukan ini sekurang-kurangnya pada LTdL tahun depan. Kita akan bawa keputusan ini (pencapaian LTdL 2023) dalam mesyuarat dengan MSN dan PKBM.

“Jika kita dapat kumpul (pelumba) dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sudah dapat keputusan yang baik. Mungkin apabila dapat kumpul setahun, keputusannya lebih baik,” katanya.

Pada LTdL 2023, Malaysia mempertaruhkan empat bekas pelumba Sapura Cycling (TSC) iaitu Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli, Muhammad Shaiful Adlan Shukri dan Zawawi Azman selaku ketua pasukan.

Malah, kehadiran Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil yang pernah menyarung jersi TSC, selain pelumba muda meningkat naik, Zulhelmi Zainal menambahkan lagi kekuatan pasukan kebangsaan Malaysia kali ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Yusof bersedia dengan segala kemungkinan jika anak-anak buahnya itu dilamar oleh pasukan profesional lain yang berminat mendapatkan khidmat mereka.

“Sekiranya ada pasukan profesional mahu menyunting mereka, pergilah. Bagi saya, itu lebih bagus daripada kita sedang mengusahakan sesuatu yang tidak pasti.

“Selagi ia dapat memanjangkan karier mereka dan membantu mereka untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing, saya tiada masalah,” ujarnya.

Sepanjang lapan peringkat perlumbaan LTdL 2023, barisan pelumba Malaysia tampak mampu menyaingi pasukan WorldTeam dan ProTeam, sekali gus menjelmakan ‘aura’ positif buat mereka.