LTdL 2023 capai standard penganjur

Pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2023 menamatkan peringkat terakhir LTdL 2023 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5 kilometer di Menara Berkembar Petronas pada Sabtu. Foto Bernama
Pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia 2023 menamatkan peringkat terakhir LTdL 2023 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5 kilometer di Menara Berkembar Petronas pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SELEPAS berlangsungnya lapan peringkat bermula di Kerteh, Terengganu dan berakhir di Kuala Lumpur, penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 melabuhkan tirainya secara rasmi pada Sabtu.

Bagi Ketua Pegawai Operasi LTdL 2023, Emir Abdul Jalal, beliau secara peribadi nyata gembira dengan penganjuran perlumbaan jelajah berbasikal terulung Asia yang memasuki edisi ke-27 itu.

“Segala-galanya berjalan seperti yang dirancang, terdapat sedikit gangguan, tetapi itu adalah perkara biasa. Paling utama adalah sambutan luar biasa daripada orang ramai bermula Peringkat 1 di Terengganu.

“Sebenarnya perkara-perkara ini bukan datang begitu sahaja. Pihak promosi kami telah mengadakan pelbagai program bagi menarik lebih ramai orang turun menyaksikan perlumbaan LTdL tahun ini.

Peloton pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dilihat melalui laluan perlumbaan pada LTdL peringkat terakhir dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5 kilometer pada Sabtu. Foto Bernama
Peloton pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dilihat melalui laluan perlumbaan pada LTdL peringkat terakhir dari Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 156.5 kilometer pada Sabtu. Foto Bernama

“Mereka menghantar risalah di setiap kampung dan sekolah sepanjang laluan perlumbaan, jadi ini bukan silap mata orang ramai terus berkumpul di tepi jalan untuk menyokong perlumbaan,” kata Emir.

Pada masa sama, Emir berpuas hati dengan kualiti siaran langsung LTdL 2023 sehingga ia mendapat pujian daripada pemegang hak antarabangsa, Eurosport.

“Standard siaran langsung telah meningkat, setanding dengan Vuelta a Espana dan Tour de France. Platform media sosial Facebook dan TikTok juga sangat mengagumkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya jangkakan semua platform kami telah mencapai lebih daripada 30 hingga 40 juta tontonan untuk tahun ini. Jadi pelan promosi kami sangat berkesan,” jelasnya.

Emir memaklumkan, peningkatan jumlah penonton boleh membawa kepada lebih banyak tajaan menjelang perlumbaan LTdL tahun depan.

“Dalam tempoh tiga bulan kami telah berjaya mengumpul RM7.8 juta dalam bentuk tajaan, selain daripada RM8 juta daripada kerajaan.

“Untuk perlumbaan tahun depan, kami mempunyai lebih banyak masa untuk mendapatkan lebih banyak penaja, terutamanya dengan penambahbaikan bahagian penajaan kami.

“Jika kami boleh mendapatkan lebih banyak wang, kami boleh menarik lebih banyak pasukan berstatus WorldTeam, kami juga boleh mendapatkan pelumba yang lebih berkualiti untuk menyertainya,” jelasnya.

LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1.277.1 kilometer (km).

Sebanyak 22 pasukan mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!