Carr pahat sejarah juara LTdL 2023

Carr muncul pelumba pertama Great Britain menjuarai LTdL.
Carr muncul pelumba pertama Great Britain menjuarai LTdL.
A
A
A

PELUMBA EF Education-EasyPost, Simon Carr menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sebaik berakhirnya Peringkat 8 di Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) sebentar tadi.

Tampil menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan sejak menjuarai Peringkat 5 dari Slim River, Perak ke Genting Highlands pada Rabu lalu, Carr merekodkan catatan masa 29 jam 17 minit dan 41 saat (s).

Carr meninggalkan pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, Alexander Jefferson Cepeda Orti dengan perbezaan 49s, manakala pelumba Equipo Khern Pharma, Pablo Castrillo di tangga ketiga keseluruhan.

Kejayaan itu juga sekali gus menyaksikan Carr melakar sejarah muncul pelumba pertama dari Great Britain menjuarai perlumbaan berstatus ProSeries itu yang kali pertama dianjurkan pada 1996.

Lebih membanggakan apabila EF Education-EasyPost - jagoan berstatus WorldTour yang berpangkalan di Amerika Syarikat dinobatkan sebagai pasukan terbaik bagi edisi ke-27 tahun ini.

Sementara itu, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn atau lebih dikenali dengan gelaran Little Gorilla muncul Raja Pecut LTdL 2023, sekali gus melayakkannya menyarung Jersi Jingga.

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) pula milik seorang lagi pelumba Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud, manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy menyambar Jersi Putih (Terbaik Asia).

Terdahulu, perlumbaan Peringkat 8 yang bermula dari Setia Alam, Selangor dengan jarak sejauh 156.5 kilometer (km) itu dimenangi pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa yang mencatatkan masa 3:12:27s.

Artikel Berkaitan:

Pakar pecut Caja Rural-Segurus RGA, Daniel Babor menyambar podium kedua, manakala De Kleijn yang menjuarai Peringkat 1 dan 6 sebelum ini, meraih tempat ketiga.

Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil pula muncul pelumba terbaik Malaysia dan Asia pada peringkat terakhir itu apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima, juga dengan catatan masa sama, 3:12:27s.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!