Mampukah LRT atasi kesesakan secara total?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ISU kesesakan jalan raya dari Seberang Perai menuju ke kawasan George Town bukanlah perkara baharu. Aliran trafik perlahan terutama ketika waktu puncak menjadi satu masalah besar yang saban hari perlu dihadapi pengguna jalan raya.

Dengan pertambahan kenderaan dari masa ke masa menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan, belum lagi sekiranya berlaku kemalangan atau kenderaan rosak di atas jalan raya, sudah pasti masa perjalanan akan mengambil masa panjang dan banyak masa pengguna jalan raya terbuang di atas jalan raya.

Selain itu, kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang juga menjadi satu penyeksaan yang perlu dihadapi pengguna jalan raya tak kira pagi atau petang.

Walaupun Pulau Pinang mempunyai dua jambatan menghubungkan kawasan tanah besar dan pulau, namun isu kesesakan masih belum dapat ditangani secara total khususnya di waktu puncak.

Sudahlah perlu membayar tol, pengguna jalan raya khususnya mereka dalam perjalanan ke tempat kerja di bahagian pulau perlu menghadap kesesakan baik bermula di jambatan mahupun susur keluar ke pusat bandar.

Turun sahaja dari jambatan, pemandu kenderaan perlu pula menempuh kesesakan lagi di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Euu untuk menuju ke George Town, mahupun laluan Greenlane.

Itu belum lagi apabila musim cuti sekolah atau cuti peristiwa, bukan sahaja di Seberang Perai, malah seluruh kawasan Pulau Pinang akan menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara.

Entah sampai bila penduduk Pulau Pinang perlu menjalani rutin harian sebegini.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang dijangka akan dimulakan penghujung tahun ini sudah pasti melegakan penduduk di negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini berkata, pembinaan LRT bagi fasa pertama itu merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer.

Menurut beliau, berdasarkan perbincangan bersama dengan kerajaan negeri dan MRT Corp, satu persetujuan telah dicapai mengenai jajaran baharu LRT iaitu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas ke Tanjong Bungah berbanding jadual asal stesen terakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Projek fasa pertama itu kelak akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Pada 6 Mei lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan Persekutuan akan menambah dana kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan segera projek LRT di negeri itu.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan negeri Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) melibatkan tambakan sekitar 1,821 hektar tanah yang mana ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

Langkah kerajaan negeri melaksanakan sistem pengangkutan tersebut adalah tepat pada masanya kerana sekiranya tidak dilakukan sekarang, kesesakan di negeri akan terus bertambah parah pada masa akan datang.

Namun, persoalan kini, apabila pembinaan LRT ini siap nanti, adakah akan dapat mengatasi sepenuhnya masalah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang? Adakah rakyat di negeri ini boleh mengubah rutin hidup mereka daripada memandu kenderaan sendiri kepada menggunakan pengangkutan awam.

Jawapannya bergantung kepada sejauh mana perkhidmatan tersebut diuruskan dengan efektif serta memenuhi keperluan masyarakat.

Cuma, penulis amat berharap supaya projek pembinaan LRT ini turut dikembangkan ke kawasan Seberang Perai pula pada masa akan datang.

* Mohd Iskandar Othman ialah Wartawan Sinar Harian di Pulau Pinang