Ringgit Malaysia merudum, M40 hilang kuasa berbelanja?

Kejatuhan Ringgit Malaysia berada pada paras membimbangkan. - Gambar hiasan
Kejatuhan Ringgit Malaysia berada pada paras membimbangkan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) ketika ini seakan-akan memberi bayangan bahawa rakyat bakal hilang kuasa dalam berbelanja.

Menurut pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, golongan berpendapatan sederhana (M40) mungkin terpaksa mengubah perancangan kewangan sekiranya sebahagian daripadanya tidak menerima bahan api bersubsidi.

Tambahnya, kumpulan berkenaan juga berisiko menghadapi kemerosotan kuasa berbelanja kerana simpanan yang menyusut sehingga dijangkakan ada antara mereka melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

Sementara itu, Pakar ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff memberitahu, kejatuhan nilai wang ringgit sehingga melepasi paras RM4.70 pada ketika ini adalah berdasarkan faktor global seperti pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, pergerakan aliran mata wang boleh dipengaruhi oleh keputusan pelabur asing terhadap pegangan ekuiti masing-masing.

Hal ini kerana apabila pelabur asing menjual pelaburannya dalam ekuiti, pegangan bon atau hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) akan menyebabkan nilai ringgit lebih mudah terjejas.

Oleh yang demikian, situasi tersebut menjadi serius dan membimbangkan apabila terdapat ramalan ringgit akan terus lemah berbanding dolar AS pada minggu hadapan.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan nilai melepasi RM4.70 selama tiga hari berturut-turut itu sebagai situasi membimbangkan kerana memberi kesan drastik kepada ekonomi dan kadar inflasi negara.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, jika keadaan ekonomi negara parah, ia dikhuatiri memberi kesan kepada rakyat di negara ini, lebih-lebih lagi hampir 52.3 peratus daripada keperluan makanan negara diimport.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberi jaminan bahawa ringgit dijangka mengekalkan kedudukan semasanya antara RM4.68 hingga RM4.69 berbanding dolar AS pada minggu depan.

Dalam pada itu, pengarah urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes berpandangan, nilai mata wang berkenaan mungkin meningkat kepada RM4.60 berbanding dolar AS, namun bergantung kepada keseimbangan pertumbuhan global dicapai melalui ekonomi AS yang lebih perlahan atau peningkatan di seluruh dunia.

Oleh itu, kerajaan diminta supaya mengambil langkah intervensi yang komprehensif bagi menoktahkan kemelut ekonomi melanda negara ini, terutamanya bagi golongan M40 kerana sebahagiannya tidak menerima subsidi.