'Tak salur kotak makanan melalui pusat khidmat bukan hukuman'

SAARANI
SAARANI
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Keputusan Yayasan Perak tidak lagi menyalurkan kotak makanan melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan bermaksud menghukum mana-mana pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses pengagihan kotak makanan itu dikembalikan semula seperti sebelum ini melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika diperkenalkan oleh Yayasan Bina Upaya.

Menurutnya, selepas pentadbiran kerajaan negeri bertukar, urusan pengagihan kotak makanan diserahkan kepada Yayasan Perak.

"Kerajaan waktu itu telah gunakan pusat khidmat (wakil rakyat) kerajaan untuk mengedarkan kotak makanan. Itu latar belakangnya. Jadi maknanya, bukanlah tugas pusat Khidmat untuk mengedarkan kotak makanan. Kita letak kat situ kerana pada waktu itu Yayasan Perak tak cukup tenaga.

"Bila saya jadi Menteri Besar, kita sambung bukan sahaja kepada pusat khidmat kerajaan tetapi kita bagi juga kepada pusat khidmat pembangkang.

"Tiba-tiba ada beberapa pusat khidmat yang buat sticker sendiri dilekatkan dan tulis di situ sumbangan ikhlas daripada pusat khidmat dia yang sebenarnya salah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Perak Agrofest 2023 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) di sini pada Ahad.

Saarani berkata, perkara itu kemudiannya dibincangkan di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Perak sebelum mengeluarkan arahan agar penyaluran tersebut tidak lagi dibuat melalui pusat khidmat ADUN.

Menurutnya, bukan sahaja di pusat khidmat wakil rakyat pembangkang tetapi semua ADUN termasuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Mulai Oktober ini, kotak makanan akan sampai juga ke setiap DUN (Dewan Undangan Negeri), cuma tidak disampaikan oleh pusat khidmat tapi disampaikan oleh NGO yang dilantik sendiri oleh Yayasan Perak.

"Rakyat tak perlu bimbang, kita tak sekat (bantuan) tetapi ia akan sampai juga kepada sasaran yang sama, barang kali orang yang sama tetapi orang yang menyampaikan adalah NGO bukan pusat khidmat," katanya.

Pada Sabtu Sinar Harian melaporkan, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin dari Perikatan Nasional (PN) menyifatkan keputusan Yayasan Perak tidak wajar kerana tindakan segelintir pihak yang menampal pelekat di kotak makanan tersebut.

Jelasnya tindakan tersebut juga dilihat tidak adil kepada ADUN-ADUN yang tidak pernah mengubah rupa kotak makanan berkenaan kerana pusat khidmat ADUN menjadi tempat rakyat mengadu masalah.