188 hafiz, hafizah cemerlang Melaka terima elaun RM402,600 setahun

Datuk Rahmad Mariman
Datuk Rahmad Mariman
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan membayar elaun bulanan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM402,600 setahun kepada 188 hafiz dan hafizah yang layak serta cemerlang menerusi Program Pemerkasaan Huffaz Negeri Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pemberian elaun itu antara program bermanfaat yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi baki RM1.2 juta hasil kutipan fidyah pada tahun lepas.

"Baki tersebut juga merupakan adalah hasil keseluruhan RM2.34 juta kutipan fidyah tahun lepas yang telah diagihkan kepada fakir miskin berdaftar di bawah MAIM.

"Dengan baki fidyah itu juga MAIM akan melaksanakan beberapa program bermanfaat kepada golongan memerlukan terutamanya kategori B40 supaya bantuan ini dapat disalurkan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan umat Islam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Karnival Semarak Cinta Rasul yang turut dihadiri Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Wakaf, Zakat dan Baitulmal MAIM pada Februari lalu juga meluluskan penggunaan dana fidyah sebanyak RM400,00 bagi beberapa program.

"Antaranya sebanyak RM147,000 disalurkan kepada 170 pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk ada yang mendapat bantuan selama 10 bulan.

"Tahun ini, kita juga menggunakan peruntukan Tabung Amal Jariah Negeri Melaka dengan memberi sumbangan berupa dua unit mesin 'biolight' kepada Klinik Kesihatan Daerah Jasin dan Alor Gajah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu sebanyak 10 komputer, mesin basuh dan kerusi kepada sekolah rendah agama (SRA) dan sekolah tahfiz.

Dalam pada itu beliau berkata sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul tahun ini kerajaan negeri juga memberi pengiktirafan melalui Anugerah Khas Maulidur Rasul bagi menghargai sumbangan organisasi yang banyak menyumbang kepada kemaslahatan ummah serta urus tadbir pengurusan organisasi yang terbaik dan cemerlang. - Bernama