Belanjawan 2024: KKR mahu peruntukan lebih tinggi

Alexander semasa sidang akhbar selepas melancarkan SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
Alexander semasa sidang akhbar selepas melancarkan SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengharapkan peruntukan lebih tinggi diberikan, khususnya bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dalam Belanjawan 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya hanya mendapat RM1.5 bilion bagi tujuan itu pada 2023, berbanding keperluannya lebih tiga kali ganda daripada jumlah berkenaan.

Menurutnya, peruntukan besar itu penting kerana banyak kerja-kerja penyelenggaraan yang tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan, selain ingin memastikan kualiti jalan pada tahap sepatutnya dan mengikut piawaian.

"KKR telah mohon peruntukan yang lebih daripada 2023. Kita harap apa yang dimohon, kalau tak dapat 100 peratus pun, ada penambahan daripada diperoleh selama ini.

"Kami telah tegaskan kepada Kementerian Kewangan, apa persediaan untuk belanjawan nanti dan harapan besar supaya KKR dapat peruntukan yang tinggi.

"Kita dah lancarkan MYJalan iaitu aplikasi aduan berkaitan kerosakan jalan raya pada 24 Ogos oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Ia menunjukkan komitmen kita dalam meningkatkan kualiti jalan raya di negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di sini pada Jumaat.

Majlis Pelancaran Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secaran Pembayaran Terbuka (SPT) yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Sri Alexander Nanta Linggi pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah
Majlis Pelancaran Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Secaran Pembayaran Terbuka (SPT) yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Sri Alexander Nanta Linggi pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Mohd Rafiq Redzuan Hamzah

MYJalan merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya atau peralatan jalan dapat dibaik pulih.

Artikel Berkaitan:

Tambah Alexander, sejak pelancarannya, aplikasi itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

"Kita dapati Perdana Menteri juga mengambil berat tentang perkara ini sebab kerja-kerja penyelenggaraan lebuh raya ini penting.

"Kita akui, memang pernah berlaku kemalangan yang berkaitan penyelenggaraan tapi sebolehnya nak elakkan kehilangan nyawa.

"Ini adalah satu strategi bagaimana kita mengumpul data dan maklumat awam melalui aduan. Daripada aplikasi itu, kami harap dapat statistik penting masalah di lapangan," jelasnya.