Harimau belang 'Apek Bihai' masuk perangkap

Apek Bihai berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Hak, Pos Bihai, Gua Musang pada Jumaat.
Apek Bihai berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Hak, Pos Bihai, Gua Musang pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor harimau belang berusia lingkungan dua tahun di Kampung Hak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan.

Perhilitan Kelantan dalam satu kenyataan berkata, harimau belang jantan yang dikenali sebagai Apek Bihai berjaya ditangkap pada Jumaat setelah membaham beberapa ekor anjing peliharaan di kawasan kampung tersebut dan kampung sekitarnya.

Kata kenyataan itu, pihak Perhilitan Kelantan telah menerima aduan daripada penduduk kampung pada 24 Julai apabila harimau belang tersebut berkeliaran dan memakan haiwan peliharaan.

Menurutnya, susulan daripada aduan tersebut, pada 6 Ogos lalu pihak Perhilitan Kelantan telah menjalankan siasatan awal, pemantauan serta memasang satu unit perangkap harimau belang dikenali sebagai Perangkap Wahab di lokasi aduan.

"Pada Khamis, Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia bersama kakitangan Perhilitan Kelantan telah menjalankan Operasi Tangkapan Harimau Belang.

"Operasi ini melibatkan 10 anggota dan pemasangan satu unit perangkap tambahan di kawasan aduan dengan mengumpan seekor kambing hidup.

"Pada Jumaat, seekor harimau belang jantan (Apek Bihai) yang dianggarkan berumur lebih kurang dua tahun telah berjaya ditangkap dalam keadaan sihat di Kampung Hak, Pos Bihai," katanya pada Sabtu.

Apek Bihai berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Hak, Pos Bihai, Gua Musang pada Jumaat.
Apek Bihai berjaya ditangkap Perhilitan Kelantan di Kampung Hak, Pos Bihai, Gua Musang pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Apek Bihai akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.

Jelasnya, mengikut rekod jabatan Perhilitan, kes pertama melibatkan serangan harimau belang di Pos Bihai adalah pada 5 Julai 2021 iaitu melibatkan seekor harimau belang betina yang dikenali sebagai Syamilla Bihai.

"Serangan daripada harimau belang betina tersebut telah menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki orang asli.

"Syamilla Bihai berjaya ditangkap dan telah ditempatkan di NWRC Sungkai," kata kenyataan itu.

Tambahnya, kes kedua adalah pada 7 Januari 2022 melibatkan kematian seorang lelaki orang asli akibat diserang harimau belang.

Menurutnya, harimau belang tersebut terpaksa ditembak mati kerana telah cuba menyerang anggota Perhilitan semasa operasi dijalankan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak melakukan provokasi.

"Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," ujarnya.