PPZ-MAIWP galak bayar zakat pendapatan secara bulanan

Abdul Hakim (kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Skim PZB 2023 di Hotel IDEAS di sini pada Isnin.
Abdul Hakim (kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Skim PZB 2023 di Hotel IDEAS di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kakitangan kerajaan dan sektor swasta di Wilayah Persekutuan digalak menunaikan zakat pendapatan secara bulanan melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman berkata, Skim PZB melalui potongan gaji merupakan saluran bayaran zakat terbaik dalam memastikan pembayaran konsisten dan selamat serta tidak membebankan apabila tiba hujung tahun.

Menurutnya, bayaran zakat boleh diselaraskan dengan potongan cukai bulanan (PCB) dan mendapat 100 peratus rebat cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Pembayar zakat PPZ-MAIWP juga dilindungi Skim Kafalah Muzakki atau lebih dikenali sebagai khairat kematian iaitu sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar, waris akan menerima sumbangan wang sehingga RM3,000.

"Pembayar yang membuat potongan gaji zakat serendah RM50 setahun secara automatik layak menerima skim ini," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Skim PZB 2023 di Hotel IDEAS di sini pada Isnin.

Pada majlis yang sama turut diadakan serahan plak penghargaan kepada 10 majikan syarikat swasta dan kerajaan yang sentiasa memastikan kakitangan menunaikan zakat secara bulanan melalui Skim PZB antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Malayan Banking Berhad (Maybank).

Beliau turut menggesa majikan serta pihak syarikat menggalakkan potongan gaji zakat dalam kalangan kakitangan mereka.

"Majikan juga boleh mendapatkan pengembalian semula wang zakat melalui Skim Wakalah untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan yang kurang berkemampuan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kempen Skim PZB akan berlangsung selama enam bulan bermula 1 Julai lalu sehingga 31 Disember depan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti pakej percutian di Balkan, iPhone 15, vakum, syiling emas dan seterika stim jenama Philips.

Katanya, kempen tersebut terbuka kepada semua pembayar zakat melalui saluran Skim PZB sama ada pembayar baharu atau pun mereka yang menambah jumlah potongan zakat.

Maklumat lanjut berkenaan kempen ini boleh didapati dengan melayari www.zakat.com.my/jompotong2023 atau menerusi media sosial Pusat Pungutan Zakat.