Tiru konsep Liga Bola Sepak Remaja Komuniti Subang Jaya - Hannah

Hannah bersama pasukan yang beraksi dalam SJCYFL. - Foto: Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor
Hannah bersama pasukan yang beraksi dalam SJCYFL. - Foto: Sinar Harian /Asril Aswandi Shukor
A
A
A

[DIKEMAS KINI] LIGA Bola Sepak Remaja Komuniti Subang Jaya (SJCYFL) yang mengetengahkan konsep penglibatan dan sukarelawan dalam kalangan ibu bapa pelbagai kaum perlu dicontohi oleh semua pihak.

SJCYFL merupakan liga yang telah ditubuhkan sejak 2001 dan diusahakan oleh ibu bapa secara sukarela bukan sahaja untuk menggalakan kanak-kanak bersukan tetapi juga mengeratkan perpaduan antara kaum.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, konsep yang telah diterapkan oleh SJCYFL itu telah berjaya membentuk keharmonian kaum dalam kalangan penduduk setempat.

"Model sukan yang bagus di peringkat sekolah adalah model seperti ini kerana ada penglibatan ibu bapa. Kalau kita lihat, ini adalah platform perpaduan yang sangat bagus.

Antara aksi melibatkan pasukan yang bertanding dalam kejohanan SJCYFL di padang Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya pada Sabtu.
Antara aksi melibatkan pasukan yang bertanding dalam kejohanan SJCYFL di padang Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya pada Sabtu.

"Semua kaum dapat terlibat bersama. Itu yang kita nak kerana sukan bukan hanya platform untuk rekreasi tetapi juga untuk mereka belajar nilai daripada ibu bapa.

"Konsep sukarelawan yang tidak mengharapkan peruntukan itu juga akan menjayakan kesinambungan program tersebut kerana ibu bapa itu sendiri memainkan peranan untuk menyumbang demi anak-anak dan masyarakat setempat," katanya selepas merasmikan kejohanan SJCYFL di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam majlis tersebut, Hannah turut menyumbangkan dana sebanyak RM50,000 agar pihak Kelab Sukan Komuniti Subang Jaya dapat membantu memperkembangkan konsep tersebut ke kawasan lain.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Sukan Komuniti Subang Jaya, Stephen Samuel berkata, konsep liga itu telah diperluaskan dan ketika ini mempunyai liga yang hampir sama dianjurkan di Bangi.

Hannah (tengah) bersama Stephen (dua dari kanan) dan setiausaha kelab, Richard Tan (kanan) di majlis perasmian kejohanan SJCYFL di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya pada Sabtu.
Hannah (tengah) bersama Stephen (dua dari kanan) dan setiausaha kelab, Richard Tan (kanan) di majlis perasmian kejohanan SJCYFL di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya pada Sabtu.

"Apa yang penting adalah ibu bapa dapat mulakan dahulu konsep liga ini. Kita pun bermula dengan ilham daripada seorang warga Amerika Syarikat, Douglas Ladner dan sekitar enam orang ibu bapa sahaja pada 2001.

"Sekarang ini, telah berkembang dan mendapat kerjasama yang baik dari ibu bapa yang berminat untuk turut serta. Kita juga akan pastikan semua pemain diberikan peluang bermain.

"Kita akan buat penilaian dan setiap pasukan akan seimbang dari segi kemampuan pemain dan juga kaum dalam pasukan. Malah, ibu bapa juga akan jadi penganjur, ada yang jadi pengadil dan sebagainya," katanya.

Hannah (tengah) merakam kenangan bersama pihak penganjur liga.
Hannah (tengah) merakam kenangan bersama pihak penganjur liga.

Liga tersebut dibahagikan kepada kategori Junior untuk pemain bawah lapan tahun (B-8), Divisyen Major (B-10), Divisyen Senior (B-12) dan Divisyen Premier (B-14) melibatkan enam pasukan dalam setiap kategori.

Ketika ini, saingan liga yang bermula pada Julai lalu telah pun tamat dan kesemua pasukan sedang meneruskan cabaran dalam perebutan piala kejohanan yang akan berakhir pada Ahad.