Sultan Kelantan titah laksana langkah proaktif atasi derita rakyat

Tengku Muhammad Faiz Petra (kiri) menyampaikan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar di Kota Bharu, pada Sabtu. - Photo Istana Kelantan.
Tengku Muhammad Faiz Petra (kiri) menyampaikan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Balai Besar di Kota Bharu, pada Sabtu. - Photo Istana Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan kerajaan negeri ini memandang serius krisis kemanusiaan yang menyumbang kenaikan harga barang dan memburukkan lagi tekanan inflasi global.

Dalam titah sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-54 di Istana Balai Besar di sini, pada Sabtu, baginda menitahkan kerajaan negeri mengambil langkah yang lebih proaktif agar sekuriti makanan dalam negeri lebih terjamin walaupun situasi ekonomi semasa tahun 2023 dijangka tumbuh perlahan.

Dr Tengku Muhammad Faiz Petra (tengah) menyempurnakan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Dr Tengku Muhammad Faiz Petra (tengah) menyempurnakan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Titah baginda itu disampaikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

“Ketegangan geopolitik antarabangsa antara Ukraine dan Rusia antara faktor utama berlaku ketidakstabilan ekonomi global sekali gus mencetuskan krisis kemanusiaan yang menyebabkan kenaikan harga barang serta memburukkan lagi tekanan inflasi.

“Beta menyarankan agar kerajaan negeri ini dapat memperhalusi permohonan penukaran status tanah daripada pertanian kepada status bangunan agar dapat mengekang pengurangan tanah-tanah pertanian di Kelantan ini yang boleh mengganggu rantaian bekalan makanan.

“Langkah jangka pendek bagi mengatasi penderitaan rakyat, dari segi tekanan sara

hidup perlu dilakukan dengan kadar segera,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sultan Muhammad V turut menitahkan penyediaan sumber air yang bersih juga menjadi salah satu agenda keutamaan bagi negeri Kelantan.

Baginda amat berharap agar kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berusaha meningkatkan infrastruktur bekalan air bagi menjaga kepentingan rakyat di negeri ini.

“Langkah termasuk mengurangkan air tidak berhasil yang mencecah 53.7 peratus bagi tahun 2022.

“Keadaan ini perlu ditangani dengan berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negeri yang lestari dan holistik,” titah baginda.

Titah baginda lagi, amat berharap kedua-dua kerajaan itu dapat meneruskan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Lebuhraya Kota Bharu-Krai, Central Spine Road (CSR), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Menaik Taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra agar pembinaan ini dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Baginda juga meluahkan rasa gembira melihat prestasi ekonomi negeri Kelantan yang merekodkan peningkatan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2022 sebanyak 4.3 peratus berbanding hanya 2.4 peratus pada tahun 2021.

Titah baginda, peningkatan juga berlaku dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang dengan wujudnya beberapa pusat tumpuan baharu yang berdaya saing seperti di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Bachok dan Dabong.

“Beta berasa sukacita melihat kerajaan negeri yang kreatif dan proaktif dalam mewujudkan lebih banya pusat pelancongan yang dapat menarik pelancong dari dalam dan luar negeri seterusnya menjadi pemangkin kepada peningkatan kegiatan ekonomi rakyat beta.

“Misi pelaburan yang berdaya maju juga perlu dilaksanakan dengan penuh berkesan dan teliti bagi memastikan agenda mempromosikan negeri kelantan sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif terus dijayakan,” titah baginda.