Caj QR DuitNow tidak beban rakyat - Anwar

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PENGENAAN yuran transaksi untuk pembayaran kod QR DuitNow dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat bagi meredakan kebimbangan rakyat yang menyifatkan pelaksanaan itu bakal menambah satu lagi ‘kesengsaraan’ mereka selepas isu permasalahan harga barang keperluan ketika ini masih belum selesai.

Bagaimanapun, ketidakpuasan hati orang ramai terhadap keputusan pengendali DuitNow QR Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) untuk melaksanakan caj tersebut bermula 1 November itu membawa respons positif apabila tiga bank tempatan mengumumkan untuk menangguhkannya.

Maybank dan Public Bank memaklumkan pelaksanaan caj tersebut ditunda ke satu tarikh lain, manakala CIMB Bank mengesahkan ia ditangguhkan untuk tempoh dua bulan.

Sedikit sebanyak kita dapat menarik nafas lega meskipun caj transaksi DuitNow sekitar 0.25 peratus daripada transaksi bulanan dilihat tidak membebankan kepada mereka yang kaya namun rakyat marhaen tersepit ditambah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Dalam perkembangan lain, isu berhubung aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini didakwa dijual kepada bukan Islam terjawab apabila Anwar memaklumkan akan memulakan perbincangan untuk menyerahkan semula sebahagian aset yang sebelum ini dipegang syarikat tujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan (MOF) pada 2018.

Beliau secara tidak langsung menepis fitnah yang dilemparkan kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan menegaskan rekod aset TH masih dipegang MOF.

Pada Mac 2019, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan langkah memindahkan aset RM19.9 bilion kepada SPV berjaya 'menutup lubang' jurang antara aset dan liabiliti yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Perdana Menteri menegaskan selagi diberi amanah memegang tanggungjawab menjaga negara, beliau tidak akan bertolak ansur dalam segala percubaan untuk merosakkan agensi mahupun syarikat milik negara bagi mengaut keuntungan