MPAJ diminta tangani isu peniaga Bazar Taman Melawati - Mohamed Azmin

Mohamed Azmin (kiri) meninjau dan melawat premis perniagaan di Bazar Taman Melawati pada Rabu.
Mohamed Azmin (kiri) meninjau dan melawat premis perniagaan di Bazar Taman Melawati pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menangani segera beberapa isu dibangkitkan peniaga di Bazar Taman Melawati.

Mohamed Azmin berkata, pengusaha bazar berkongsi keluhan dan rintihan mereka berikutan kerja-kerja yang sedang dijalankan MPAJ tidak memenuhi aspirasi dan keperluan mengikut aktiviti perniagaan di kawasan tersebut.

Menurut beliau, permasalahan itu dibangkitkan peniaga semasa beliau mengadakan program turun padang dan berdialog dengan ahli Persatuan Usahawan Bazar Melawati (PUBM) pada petang Rabu.

"Saya mendengar dengan tekun semua aduan yang diluahkan oleh usahawan dan peniaga di Bazar Melawati.

"Saya turut meninjau sendiri hampir semua unit bazar yang memang sudah uzur dan memerlukan pembangunan menyeluruh bagi memenuhi keperluan pelanggan dan keselamatan pengusaha serta pengunjung," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang memberitahu, beliau akan membawa suara peniaga kepada pihak MPAJ bagi pertimbangan segera.

"Saya berharap MPAJ akan melaksanakan kerja-kerja mengikut keperluan usahawan melalui rundingan dan perbincangan terbuka dengan PUBM," jelas beliau.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 80 unit premis perniagaan dan seramai 65 usahawan sedang aktif menjalankan pelbagai jenis perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebahagian besar usahawan di bazar itu telah mengusahakan perniagaan masing-masing hampir 30 tahun dalam industri makanan seperti nasi campur, mi rebus, roti canai, cendol, persolekan dan gubahan bunga, gunting rambut, pembaikan peralatan muzik dan beberapa lagi aktiviti perniagaan.

Jelas Mohamed Azmin, pihaknya juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) diluluskan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Perdana Menteri bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan bangunan bazar yang ketika ini sedang dibangunkan MPAJ.