Ramadan sepi tanpa ibu disisi

Arul Kumar menyerahkan replika cek kepada Nor Azila mewakili anak Allahyarham sambil diperhatikan Nallusamy (kanan).
Arul Kumar menyerahkan replika cek kepada Nor Azila mewakili anak Allahyarham sambil diperhatikan Nallusamy (kanan).
A
A
A

REMBAU - Meskipun riak wajah anak kecil ini langsung tiada menunjukkan kesedihan, namun jauh disudut hati mereka amat merindui ibu yang telah pergi.

Dalam kejadian 25 April lalu, Nur Amira Sahran, 33, maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditunggang dipercayai melanggar babi hutan melintas.

Allahyarham meninggalkan enam anak Muhammad Aiman Syazwan Mohd Fouzi, 12, Nor Aina Syazwani, 10; Nor Aina Syazlina,9; Nor Aina Syazlin, 7; Nor Aina Syazliyana, 5 dan Muhammad Aiman Syazrizal 18 bulan.

Muhammad Aiman Syazwan berkata, Ramadan kali ini terasa jauh bezanya kerana tanpa ibu disisi.

Jika selama ini segala makan minum diurus ibu, namun sebagai anak sulung dia kini memainkan peranan membantu ibu saudara yang menjaganya adik beradik menyiapkan segala-galanya.

"Saya okay, cuma sedih sebab puasa tanpa ibu. Tapi macam mana pun saya tetap akan puasa penuh," katanya.

Muhammad Aiman Syazwan membantu adik-adiknya mengulangkaji pelajaran.
Muhammad Aiman Syazwan membantu adik-adiknya mengulangkaji pelajaran.

Begitu juga dengan Nor Aina Syazwani yang sangat merindui ibunya sehingga terbawa ke dalam mimpi.

Artikel Berkaitan:

"Saya mimpi mama datang dan pesan suruh jaga adik baik-baik.

"Memang itu yang selalu dipesan oleh mama pada kami semua. Tapi walau sedih, saya okay saja," katanya ketika ditemui di rumah ibu saudara di Kampung Legong Ulu di sini, hari ini.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan Exco Sumber Manusia, Perladangan, dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar bersama Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, M Nallusamy.

Beliau hadir menyampaikan wang Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan yang diterima oleh Nur Azila Sahran, 38, iaitu kakak Allahyarham.