Kastam patah cubaan edar 2.35 juta batang rokok seludup

Mohammad Hafiz (kanan) ketika menjelaskan mengenai rampasan rokok putih seludup.
Mohammad Hafiz (kanan) ketika menjelaskan mengenai rampasan rokok putih seludup.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 11,750 karton rokok putih seludup tidak sempat diedarkan ke pasaran tempatan apabila berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan dalam satu operasi di kawasan Gebeng, Pahang pada awal bulan ini.

Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, bertindak di atas maklumat pada 9 September lalu, pihaknya telah menahan dan memeriksa sebuah lori bonded jenis Hicom.

Menurutnya, lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 40-an itu dalam perjalanan dari pantai timur ke Lembah Klang.

"Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah 11,750 karton berisi 2.35 juta batang rokok putih jenama Double Happiness bernilai RM211,500.

"Rokok ini disyaki barang belum lulus kastam dan barangan larangan import di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya di sini pada Rabu.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah lori dan rokok termasuk cukai yang terlibat dianggarkan RM1.57 juta.

"Rokok jenama berkenaan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan oleh pekerja warganegara China yang bekerja di negara ini telah diseludup masuk oleh sindiket.

"Sindiket akan menggunakan kenderaan seperti lori bonded yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu dengan niat mengaburi mata pihak penguat kuasa bagi tujuan mengedarkan rokok tersebut ke pasaran tempatan untuk dijual pada harga yang murah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya telah menyerbu sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Nilai susulan cubaan pengedaran bir yang diseludup oleh sindiket juga pada awal bulan ini.

Menurutnya, pasukannya merampas bir pelbagai jenama dan saiz iaitu 12,912 tin bertanda BFE (Brew For Export), 6,863 tin (MDNP) Malaysian Duty Not Paid dan 1,032 tin Budweiser melibatkan nilai RM40,260 serta menyita sebuah van bernilai RM40,000.

Mohammad Hafiz (kanan) menunjukkan bir yang dirampas.
Mohammad Hafiz (kanan) menunjukkan bir yang dirampas.

"Jumlah nilai bir sitaan dianggarkan RM40,260 dan cukai yang terlibat lebih kurang RM125,000. Manakala jumlah nilai van dianggarkan sebagai RM40,000 menjadikan keseluruhan nilai sitaan adalah lebih RM80,000.

"Empat lelaki berusia 40-an hingga 50-an termasuk seorang warga Myanmar turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kedua-dua kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976.