KDEBWM kutip sampah di kawasan kampung secara pintu ke pintu

KLANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) akan melaksanakan kutipan sampah di kampung bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) secara pintu ke pintu atau lot ke lot bermula 1 Oktober depan.
Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, penduduk diminta memberi kerjasama dengan menyediakan tong sampah dan meletakkannya di hadapan premis masing-masing.
Menurut beliau, penyediaan tong sampah itu adalah diwajibkan kepada semua premis dan dasar itu telah termaktub di dalam perkara 6 Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPK 2007.
"Dengan penyediaan tong sampah ini memudahkan pihak KDEB membuat kutipan sampah di premis mengikut jadual yang ditetapkan," katanya ketika berucap pada perutusan mesyuarat bulan September di Bilik Mesyuarat Raja Mahadi MPK di sini pada Rabu.