MPK kompaun tiga penjaja tanpa lesen

MPK mengambil tindakan kompaun terhadap penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bahu jalan di Tasik Gravit 8, Kota Bayuemas pada Ahad lalu.
MPK mengambil tindakan kompaun terhadap penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bahu jalan di Tasik Gravit 8, Kota Bayuemas pada Ahad lalu.
A
A
A

KLANG - Sebanyak tiga penjaja tempatan dikenakan tindakan kompaun selepas menjalankan perniagaan tanpa lesen di bahu jalan di Tasik Gravit 8, Kota Bayuemas di sini, pada Ahad lalu.

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan ketidakselesaan orang awam yang melalui jalan berkenaan.

Menurutnya, antara aduan itu termasuklah penjaja tidak mempunyai lesen perniagaan sah, keadaan persekitaran dicemari sampah-sarap, kesesakan lalu lintas dan mengganggu aktiviti riadah penduduk setempat.

"Semasa penguatkuasaan dijalankan hanya penjaja tempatan yang menjalankan perniagaan di lokasi tersebut dan tiada warga asing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, katanya, MPK menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial menyatakan pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap penjaja warga asing.

"MPK meneliti beberapa aspek dari sudut perundangan terutama kepada peniaga yang terlibat dalam penyebaran video berbentuk provokasi dan dakwaan berunsur fitnah bahawa kami tidak mengambil tindakan kepada peniaga warga asing.

"MPK sentiasa menjunjung prinsip kesejahteraan penduduk termasuk peniaga dan amat menghargai mana-mana peniaga kecil yang sentiasa patuh kepada peraturan termasuk pemilikan lesen yang sah," jelas beliau.

Ujar beliau, tindakan penguatkuasaan sama juga pernah dikenakan kepada sembilan penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen pada 17 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam pemeriksaan itu, MPK telah mengeluarkan notis memberhentikan aktiviti penjaja di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (MPK) 2007.

"Pemantauan terus dijalankan memandangkan MPK masih lagi menerima aduan daripada pengunjung yang tidak selesa dengan kehadiran penjaja menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada hujung minggu serta lokasi sekitar kotor akibat tindakan mereka membuang sampah dan sisa jualan di situ," jelas beliau.

Sebelum ini tular di aplikasi TikTok, individu meluahkan rasa tidak puas hati apabila kawasan itu dipenuhi penjaja terutama pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Terdapat juga aduan secara terus kepada MPK antaranya berlaku kesesakan jalan keluar dan masuk selain dakwaan pembuangan sampah di merata-rata tempat.