Tidak sangka gurauan jemput Agong bersantap jadi kenyataan

KUANTAN - Pengusaha warung, Fazilah Ahmad tidak menyangka gurauan bersama pegawai istana, Abdulaziz supaya 'menjemput' Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersantap di warungnya menjadi kenyataan hari ini.
Fazilah, 54, berkata, Warung PokWei yang diusahakan bersama suami, Ismail Ag Kechik, 74, di Sungai Karang Darat di sini, telah beberapa kali didatangi pegawai dan kakitangan istana yang mahu bersarapan roti canai serta juadah Pantai Timur seperti nasi minyak dan nasi dagang.
"Saya beritahu, jemputlah Tuanku (Seri Paduka) datang makan roti canai di sini. Tak sangka, bila dia (pegawai istana) beritahu insya-ALLAH Tuanku nak datang (berangkat) menyebabkan saya teruja dan dalam masa sama, bimbang jika ada terkurang.
"Rasa gugup berdepan Seri Paduka mula hilang kerana keperibadian baginda yang peramah dan bertitah supaya santai sahaja. Cuma kita yang tidak sedap hati dan naik segan jika terlalu bersahaja," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini hari ini.