Ifedayo tidak sabar beraksi bersama Sang Kenari

Ifedayo (tengah) menjalani latihan pertama bersama KDA FC di Alor Setar pada Jumaat. - FOTO KDA FC
Ifedayo (tengah) menjalani latihan pertama bersama KDA FC di Alor Setar pada Jumaat. - FOTO KDA FC
A
A
A

PENYERANG baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun mengakui tidak sabar untuk turun beraksi bersama kelab baharunya pada baki saingan Liga Super 2023.

Pemain Nigeria tersebut yang diumumkan sebagai rekrut baharu Sang Kenari bagaimanapun perlu menunggu sehingga perlawanan bertemu PDRM FC pada 9 Julai depan jika diturunkan oleh pengendali, Nafuzi Zain.

"Saya tak boleh diturunkan lagi melawan Terengganu pada 3 Julai ini kerana perpindahan pemain hanya bermula 5 Julai. Harapnya dapat bermain bertemu PDRM dalam perlawanan di tempat lawan," katanya semasa ditemui pemberita pada petang Jumaat.

Ifedayo yang turun berlatih secara rasmi bersama KDA FC menjelaskan telah membuat penilaian terhadap kelab itu sebelum menerima tawaran tersebut.

Pemain berusia 32 tahun itu juga berazam menyesuaikan diri dengan corak permainan bagi merebut kesebelasan utama dalam pasukan.

"Selepas menyemak keadaan Kedah sekarang, pengurusan dan barisan pemain yang ada, saya memutuskan untuk datang ke sini kerana fikir ia akan menjadi sangat bagus dengan bermain di sini.

“Saya telah mengenali jurulatih (Nafuzi Zain). Saya rasa ia akan menjadi persekitaran kerja yang sangat baik untuk saya dan faktor inilah saya pilih sertai Kedah,” ujar pemain berusia 32 tahun Ini.

Mengulas perkembangan semasanya sejak enam bulan lalu apabila tidak terlibat dengan perlawanan kompetitif, Ifedayo menjelaskan tetap melakukan sesi latihan seperti biasa di Nigeria.

“Saya kembali ke pasukan asal saya di Nigeria dan berlatih dengan mereka untuk cuba kekal cergas. Saya cuba untuk tidak kehilangan rentak permainan dan harap dapat melakukannya bersama pasukan Ini.

“Tugas saya di sini untuk menjaringkan gol. Jadi saya akan berusaha dalam setiap perlawanan dan setiap latihan. Sasaran saya adalah menjaringkan gol sebanyak mungkin,” katanya lagi.