PRK Pelangai: Tiga gugusan Felda jadi tumpuan awal kempen calon

Amizar beramah mesra bersama peniaga sempena kempen PRK DUN Pelangai di tapak pasar malam Felda Chemomoi pada Ahad. - Foto Bernama
Amizar beramah mesra bersama peniaga sempena kempen PRK DUN Pelangai di tapak pasar malam Felda Chemomoi pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, calon dan jentera parti bertanding dilihat banyak bertumpu untuk meraih sokongan di tiga gugusan Felda di sini.

Dengan 7,983 pengundi yang mewakili 48.5 peratus daripada keseluruhan 16,456 pengundi di DUN Pelangai, tidak hairan mengapa Felda Kemasul, Kemahal dan Chemomoi menjadi titik tumpuan pihak bertanding.

Di kem Barisan Nasional (BN), calonnya Datuk Amizar Abu Adam banyak melakukan ceramah berskala kecil dan program bersemuka dengan pengundi di kawasan tumpuan penduduk Felda antaranya sesi tinjauan mesra di pasar malam Felda Chemomoi, program santai riadah mendaki Bukit Kemasul di Felda Kemasul selain menyantuni peniaga di depan padang bola Felda Kemahal.

Kempen anak jati Felda Chemomoi itu turut dibantu pemimpin parti antaranya Pengerusi BN Pahang yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selain sokongan ‘jiran’ DUN Pelangai menerusi kehadiran bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Wan Rosdy yang juga Pengarah PRK Pelangai BN berkata setakat ini, kempen parti itu menunjukkan reaksi positif daripada pengundi.

"Kita bawa naratif way forward, kita bentang pada pengundi apa kita tawarkan, apa pembangunan kita akan bawa di Pelangai ini, kita tak sentuh isu-isu, kita bentang prestasi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi yang ditemui selepas program Sembang Santai di Kampung Chemomoi malam tadi, mengingatkan jentera BN supaya berkempen secara berhemah dengan hujah dan fakta serta tidak terikut-ikut dengan gaya kempen pemimpin pembangkang yang memaki hamun dan mencarut untuk meraih undi.

Sementara itu, jentera PN juga dilihat bertumpu di sekitar gugusan Felda menerusi penganjuran ceramah berkelompok yang turut menampilkan pimpinan tertinggi parti di pentas kempen mereka.

Artikel Berkaitan:

Antara pemimpin yang turun berkempen di Pelangai bagi membantu calon PN, Kasim Samat termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Bagaimanapun, kelibat seorang lagi calon, Haslihelmy DM Zulhasli yang bertanding sebagai calon Bebas menggunakan simbol kereta, bagaikan ‘hilang daripada radar’.

Sehingga hari ini, belum kelihatan sebarang program atau aktiviti diatur jentera Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang itu, malah usaha beberapa rakan media untuk mendapatkan jadual kempen beliau tidak berhasil.

PRK Pelangai 7 Oktober ini diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. - Bernama