'Mengejutkan gelanggang futsal jadi projek perumahan' - ADUN

Noor Azman mengemukakan soalan tambahan ketika Sidang DUN Perak pada Selasa.
Noor Azman mengemukakan soalan tambahan ketika Sidang DUN Perak pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu) mendedahkan sebuah gelanggang futsal yang sepatutnya dinaik taraf di Taman Serai Jaya kini diserahkan kepada pemaju untuk dibina rumah.

Menurutnya, perkara itu amat mengejutkan kerana peruntukan sebanyak RM100,000 sudah diperoleh daripada kerajaan untuk membaik pulih gelanggang futsal berkenaan.

Beliau berkata, situasi berkenaan perlu diperjelaskan oleh pihak kerajaan negeri bagi mengelak peruntukan yang disediakan tidak dibazirkan begitu sahaja.

"Saya dah berjaya dapatkan peruntukan RM100,000 untuk satu gelanggang futsal di Taman Serai Jaya di dalam kawasan DUN Alor Pongsu kerana sudah rosak tetapi yang mengejutkan saya gelanggang futsal tanah itu diserahkan kepada pemaju swasta untuk buat rumah sekarang.

"Tak sempat saya nak baiki lagi dah dipagar untuk buat rumah jadi saya nak tahu statusnya bagaimana boleh jadi macam itu? Seolah-olah membakar duit kerajaan RM100,000. Jadi saya nak minta bantuan exco (memberikan penjelasan tentang perkara itu)," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika menjawab soalan berkenaan memaklumkan pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai perkara tersebut.

Bagi menjawab soalan lisan Mohamad Amin Roslan (PN-Pengkalan Hulu) mengenai kayu ukur yang digunakan oleh pihak kerajaan negeri bagi menilai tahap kerosakan gelanggang-gelanggang sukan, Khairudin menjelaskan, ia dilakukan melalui lawatan pemantauan dan penyediaan laporan pemeriksaan tapak.

"Apabila permohonan peruntukan pembangunan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, lawatan dan pemeriksaan tapak akan dilaksanakan oleh pegawai bersama pemohon dan pemilik tanah serta pihak-pihak yang berkaitan seperti pegawai Jabatan Kerja Raya atau Majlis Daerah yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, penilaian akan dibuat bagi mengenalpasti tahap kerosakan kemudahan sukan tersebut. Hasil penilaian dan maklumat pemeriksaan akan direkodkan dengan merangkumi skop-skop kerja yang terlibat," katanya.

Jelas beliau, skop-skop kerja tersebut seterusnya akan dinilai berpandukan rekod skop-skop kerja yang pernah dilaksanakan ke atas kemudahan sukan lain serta berdasarkan kajian pasaran untuk mendapatkan anggaran kos yang terlibat.

Menurutnya, proses tersebut menjadi penanda ukur yang digunakan oleh pihak Jabatan Belia dan Sukan Perak bagi menilai tahap kerosakan serta keperluan kerja-kerja naik taraf sesuatu kemudahan sukan.