LTDL 2023: Beberapa laluan di Selangor akan ditutup, dilencongkan

SHAH ALAM - Beberapa laluan melibatkan tujuh daerah di negeri ini akan ditutup serta dilencongkan bagi kejohanan lumba basikal bertaraf antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTDL) pada 27 dan 30 September ini.
Antara daerah yang terlibat adalah Hulu Selangor, Gombak, Shah Alam, Klang Utara, Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Ampang.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan kejohanan ini akan mengharungi trek perlumbaan melalui beberapa laluan di daerah di dalam Selangor di peringkat lima dan peringkat lapan.
Menurutnya, penutupan jalan dan lencongan secara berperingkat bagi semua jenis kenderaan akan dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal kelancaran lalu lintas serta keselamatan di lokasi yang terlibat.